Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penolong Mufti hadiri persidangan di Kaherah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Penolong Mufti (Ifta’), Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah, kelmarin bertolak ke Kaherah, Republik Arab Mesir bagi menghadiri Persidangan Fatwa Antarabangsa ke-9, sebagai wakil kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Persidangan yang bertajuk Fatwa dan Asas Etika Dalam Dunia Yang Semakin Pantas pada tahun ini akan bersidang selama dua hari bermula 29 sehingga 30 Julai.

    Turut mengiringi beliau ke persidangan tersebut ialah Ketua Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan, Haji Abdul Rahman bin Pengarah Haji Mokti.

    Dianjurkan oleh Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa di Seluruh Dunia dan diadakan di bawah naungan Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, persidangan ini dijangka membincangkan peranan fatwa dalam mempromosikan etika dan nilai kemanusiaan.

    Dalam masa yang sama, ianya bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara institusi-institusi fatwa dan organisasi antarabangsa dan serantau, seterusnya menghasilkan cadangan praktikal untuk mengukuhkan standard etika dalam masyarakat.

    Persidangan itu juga dijangka mengumpulkan para mufti, menteri, dan ulama terkemuka dari lebih 100 negara, bersama dengan wakil peringkat tinggi dari pelbagai organisasi antarabangsa.

    Kehadiran ke persidangan tersebut juga adalah atas jemputan Mufti Republik Arab Mesir selaku Presiden Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa di Seluruh Dunia, Dr Shawqi Allam.

    Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bertolak pada 27 Julai ke Kaherah diiringi oleh Haji Abdul Rahman. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MUFTI KERAJAAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda