Selepas lebih seminggu dilancarkan di semua platform digital, nampak ramai yang mula bercakap mengenai lagu raya baharu nyanyian Shiha bersama kakaknya iaitu Ieda Zikir.
Bukan sekadar mendapat pujian dalam kalangan peminat, malah ada juga memberi respons lagu berjudul Tum Tum Raya itu sudah melekat dalam kepala dan menjadi siulan mereka setiap hari.
Ditambah pula, muzik rancak dan lirik rancak membuatkan lagu ini menjadi pilihan pendengar.
“Dah 100 kali dengar, suka sangat. Tak sabar nak raya. Pertama kali dengar dah ulang dua kali,” komen warga siber.
Tidak cukup dengan itu, video muzik (MV) lagu ini juga antara yang mendapat tontonan tertinggi di saluran YouTube.

Sudah menerima lebih 150,000 tontonan sejak dilancarkan, rata-rata memuji kelainan dibawa Shiha menerusi karya kali ini.
Menggabungkan teknik ‘fast cut’ dan ‘slow motion’ Shiha berani tampil berbeza untuk menghidupkan suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.
“Tak tahu nak dengar lagu ke nak tengok MV. Semuanya menarik. Tergelak tengok sampai habis.
“MV raya terbaik. Ada elemen lawak dan sangat ceria,” komen penonton.
Sementara itu, bagi merancakkan lagi promosi lagu ini, Shiha juga memuat baik satu video demonstrasi tarian berkenan untuk ikutan pengikut Instagram miliknya dengan tanda pagar #tumtumrayadancechallenge.
Bagi peminat yang berani menyahut cabaran berkenaan, Shiha bakal memilih pemenang bertuah dan mereka akan menerima hadiah istimewa termasuk duit raya.
Lagu tersebut merupakan ciptaan Shiha sendiri dengan kerjasama komposer Ajay Amai dan Napie Hassan. – Agensi