Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penonton wajib divaksin

    TOKYO, 31 MEI – Peminat Olimpik Tokyo dimestikan untuk menerima suntikan atau diuji negatif koronavirus sebelum dibenarkan memasuki venue acara, menurut laporan akhbar Jepun hari ini.

    Bersorak, makan, bersentuhan dan minum alkohol tidak akan dibenarkan di bawah kawalan yang kini sedang dipertimbangkan, menurut akhbar harian Yomiuri Shimbun, memetik pegawai kerajaan yang tidak dinyatakan.

    Penganjur bakal memutuskan pada Jun jumlah keramaian penonton akan dibenarkan – jika diluluskan – untuk menghadiri sukan tersebut.

    Peminat dari luar negara sudah tidak dibenarkan untuk datang dan laporan memberi amaran penonton domestik mungkin tidak dibenarkan untuk masuk atau diusir jika melanggar peraturan.

    “Rancangannya adalah untuk menghentikan penularan jangkitan semasa sukan dengan langkah pembendungan yang ketat,” menurut akhbar tersebut.

    Akbar Jepun melaporkan bahawa peminat Olimpik Tokyo dimestikan untuk menerima suntikan atau diuji negatif menghidap koronavirus sebelum dibenarkan memasuki venue acara. – AFP

    Di bawah rancangan tersebut, penonton dimestikan untuk menunjukkan sijil vaksinasi atau ujian negatif dengan perbelanjaan ditanggung sendiri kurang seminggu sebelum memasuki venue.

    Mereka diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung dan mengisi borang pemeriksaan kesihatan, sebaik sahaja berada di dalam venue mereka tidak boleh bersorak dengan nyaring atau bersentuhan dengan orang lain.

    Pengawal keselamatan akan ditempatkan di sekitar venue bagi memantau tingkah laku penonton, menurut laporan, dengan tontonan awam dibatalkan atau dikurangkan.

    Pengagihan vaksin Jepun dikritik kerana berjalan dengan perlahan, dengan kurang daripada 2.5 peratus penduduk telah divaksinasi sepenuhnya setakat ini.

    Tokyo dan beberapa bahagian yang lain di bawah perintah darurat yang dilanjutkan pada Jumaat sehingga 20 Jun, lebih dari sebulan sebelum acara pembukaan pada 23 Julai.

    Yomiuri turut menerbitkan undian baharu pada Isnin menunjukkan 49 peratus penduduk tinggal di Tokyo mahu sukan diteruskan, sementara 48 peratus inginkan ia dibatalkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda