BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menggunakan satu produk pensanitasi tangan (hand sanitizer) yang didapati mengandungi bahan kimia tidak diisytiharkan dan melebihi had keselamatan hasil ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Pensanitasi tangan tersebut ialah Smart Cleansing Hand Antivirus, Antivirus Alcohol Gel yang tidak diketahui pengilangnya dan mengandungi bahan kimia metanol. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin, menjelaskan produk tersebut adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam dan mana-mana individu yang telah membeli atau menggunakan produk tersebut dinasihatkan memberhentikan penggunaannya serta merta.
Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Orang ramai juga diingatkan bahawa penjualan produk itu (termasuklah secara online dan lain-lain) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Perintah Ubat, 2007 dan/atau Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kebersihan pensanitasi tangan dan disenfaktan tanpa kebenaran daripada Kementerian Kesihatan.
