Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penstrukturan semula MPEC selaras keperluan industri

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Bermula 1 Julai 2024, Sekretariat Tetap Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (MPEC) telah menjalani penstrukturan semula menjadikan MPEC kepada dua buah organisasi berasingan di mana peranan dasar dan strategi adalah dikendalikan oleh MPEC.

    Manakala pengendalian dan pelaksanaan program-program latihan adalah di bawah Pusat Pekerjaan Brunei yang kini dinaiktaraf sebagai sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yussof semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Berikutan dengan penaikan taraf Pusat Pekerjaan Brunei sebagai sebuah jabatan, pelaksanaan program-program latihan sedia ada, peruntukan bagi latihan-latihan pembangunan tenaga manusia yang dahulunya di bawah MPEC kini di bawah Pusat Pekerjaan Brunei.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew seterusnya menerangkan bahawa pihak kerajaan melalui Pejabat Perancangan Tenaga Manusia, JPM, telah dan sedang bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan termasuk pihak industri dan sektor awam dalam memastikan perancangan tenaga kerja adalah sentiasa selaras dengan keperluan industri sama ada keperluan ketika ini mahupun keperluan masa hadapan.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa mengemukakan persoalan pada Persidangan MMN ke-21. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dari 2023 hingga 2024, pihak Pejabat Perancangan Tenaga Manusia telah mengadakan sebanyak lapan sesi perkongsian dan pengumpulan data bagi Manpower Forcasting yang telah disertai oleh lebih daripada 300 buah syarikat-syarikat swasta.

    Beliau menerangkan bahawa hasil daripada sesi berkenaan, telah membantu dalam mengenal pasti bidang kemahiran, kelulusan dan jumlah yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri semasa dan akan datang.

    Secara keseluruhan, pihak industri memberi penekanan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bidang kesihatan. Penekanan turut diberikan kepada pengukuhan kemahiran asas dan kemahiran yang boleh dipindahkan seperti pemikiran kritis dan pemikiran sistem di kalangan lepasan sekolah dan graduan supaya mereka dapat memasuki pasaran kerja yang dinamik di pelbagai industri.

    Sementara itu, menyentuh mengenai dengan analsis terhadap permit kerja asing, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menerangkan penganalisaan sedang dikendalikan melalui Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia yang mana dianggarkan lebih daripada 5 ribu jawatan sedang diisikan oleh pekerja asing yang dapat diganti dengan pekerja tempatan dalam beberapa tahun yang akan datang.

    Beliau juga menyatakan bahawa dapatan dan saranan mengenai keperluan industri, dikongsikan secara berterusan kepada institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam termasuk Jawatankuasa Khas Bertindak Pengajian Tinggi dan Jawatankuasa Biasiswa supaya perbekalan anak tempatan dapat disediakan bersesuaian dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

    “Dalam hal ini, pihak kerajaan secara berterusan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam memastikan anak tempatan kita adalah adaptif sesuai dengan perubahan semasa,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda