WASHINGTON, 10 JULAI – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah memfailkan saman terhadap California kelmarin, dengan mendakwa peraturan negeri itu mengenai pengeluaran telur dan ayam telah menyebabkan kenaikan harga telur di seluruh negara, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Negeri California telah menyumbang kepada kenaikan harga telur yang tinggi dengan mengenakan birokrasi yang tidak perlu ke atas pengeluaran telur,” menurut tuntutan mahkamah itu.
Menurut Jabatan Kehakiman AS, undang-undang California – bertujuan untuk mengurangkan kekejaman terhadap haiwan dan mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan – telah melanggar Akta Pemeriksaan Produk Telur yang diluluskan pada 1970, yang menetapkan standard keselamatan telur yang seragam di peringkat nasional.
Saman itu turut menyatakan bahawa hanya kerajaan persekutuan mempunyai kuasa untuk mengawal kualiti, pemeriksaan dan pembungkusan telur.
Peraturan yang dicabar itu menghalang petani daripada menggunakan “kaedah pertanian yang lazim digunakan yang membantu mengekalkan harga telur pada kadar mampu milik,” menurut Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan. – Bernama
