BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah mengadakan Persembahan PENTARAMA di pentas perayaan kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin selaku Penghulu Mukim Lumapas Zon 4, Daerah Brunei dan Muara.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA serta Penghulu Zon 1 dan Pemangku Penghulu Zon 2 Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid, pemangku ketua-ketua kampung dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
PENTARAMA adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak tahun 1988 dalam menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai melalui persembahan pentas. Melalui program berbentuk infotainment ini, ia dapat memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada penonton tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara.
Persembahan PENTARAMA telah dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA diikuti dengan pelbagai lagu daripada artis-artis tanah air iaitu, Ahmadshah, Yaniey Junaini, Krunn Muhamad, Dayat Ahim dan Hazimah Hamdan.
Seterusnya acara diikuti dengan drama pentas yang bertajuk Scammer dari Kumpulan Pento XYZ mengisahkan tentang dua individu iaitu Rokiah yang tertipu dengan pelaburan saham palsu dan Kamil terpedaya oleh love scam seorang wanita yang hanya menginginkan wang.
Persembahan tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan lawak jenaka yang bertajuk Pasang Surut Kehidupan dari Kumpulan RAJIKI.
Di samping itu, para penonton PENTARAMA juga berpeluang untuk menyertai kuiz PENTARAMA di mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Persembahan PENTARAMA akan diteruskan ke daerah-daerah lain pada 24 Julai di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong di Daerah Tutong; dan berakhir di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait pada 27 Julai.