Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Persembahan lawak jenaka dan sketsa drama telah menghiburkan para pengunjung di pentas perayaan kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong, di mana Persembahan PENTARAMA diadakan kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, persembahan berkenaan dikelolakan oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama cawangan Penerangan Daerah Tutong.
Ia diadakan bagi memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub selaku Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA dan Pemangku Timbalan Pengarah, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaihi selaku Timbalan Pengerusi PENTARAMA.


PENTARAMA atau pentas, tari dan drama adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan secara bersemuka melalui persembahan pentas sejak 1988 dalam menyalurkan mesej yang membina minda masyarakat dan maklumat rasmi kepada orang ramai mengenai dasar serta aktiviti kerajaan.
Persembahan dimulakan dengan lagu tema, PENTARAMA oleh barisan artis yang terdiri daripada Kumpulan Al Busyra.
Selain persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh dari BruHaHa, ia juga diisikan dengan sketsa drama bertajuk Bisikan Hijrah oleh Seni Kreatif Insan Seni yang antara lain mengisahkan ketua keluarga yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga berlakunya keganasan dalam rumah tangga dan penderaan isteri dan anak yang akhirnya menghancurkan keharmonian sebuah keluarga.
Di samping itu, para penonton juga berpeluang untuk menyertai Kuiz Kenegaraan di mana hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Haji Mohamad Danial.
Persembahan PENTARAMA diteruskan lagi di Daerah Brunei dan Muara pada hari ini di pentas perayaan kawasan lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, dan di Daerah Belait pada 29 Julai di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji, Kuala Belait.