Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PENTARAMA meriahkan pentas perayaan Belait

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 28 JULAI – Persembahan PENTARAMA sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78 diteruskan lagi ke Daerah Belait bertempat di pentas perayaan kawasan Gerai Tudung Saji, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad. Turut hadir Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Setiausaha Bersama Persembahan PENTARAMA serta penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi bersama bagi acara-acara Malam Keraian Daerah Belait.

    Persembahan dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan daripada artis-artis tanah air iaitu Ahmadshah, Yaniey Junaini, Dayat Ahim, Hazimah dan Rasyqah Sofian.

    Sementara itu, Kumpulan Pento XYZ yang terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan pula mempersembahkan drama bertajuk Scammer.

    Manakala, Kumpulan RAJIKI juga menghiburkan para penonton dengan persembahan lawak jenaka yang bertajuk Pasang Surut Kehidupan dan setelah itu memberi peluang kepada para penonton untuk menyertai Kuiz PENTARAMA yang mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu Dirgahayu.

    Persembahan PENTARAMA tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah dan diadakan setiap tahun di seluruh negara bagi sama-sama memeriahkan lagi pentas perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-78.

    Daerah Belait merupakan destinasi terakhir PENTARAMA setelah berlangsungnya di Daerah Temburong pada 17 Julai, diikuti dengan Daerah Brunei dan Muara pada 20 Julai dan di Daerah Tutong pada 24 Julai.

    Haji Amirol Hafidzin bersama tetamu jemputan lain menyaksikan persembahan berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara persembahan PENTARAMA yang diadakan di pentas perayaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda