Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 JULAI – Setelah persembahan yang berjaya menarik ramai pengunjung ke Daerah Tutong awal bulan ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meneruskan lagi Persembahan Pentarama ke Daerah Belait di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji, Kuala Belait, malam tadi.
Diadakan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75, Pentarama tahun ini mengetengahkan beberapa sketsa, drama dan persembahan.
Salah satu tarikan utama adalah persembahan sketsa drama bertajuk ‘COVID Oh COVID’ oleh Kumpulan Putera Seni yang lebih memfokuskan mengenai kesedaran tentang COVID-19 seperti Program Vaksinasi Kebangsaan yang sedang dijalankan di negara ini selain menyeru orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan semasa pandemik COVID-19.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi dan ketua Kampung Labi I.
Persembahan dimulakan dengan lagu tema ‘Pentarama’ oleh barisan artis yang menjayakan Pentarama kali ini. Segmen persembahan Pentarama termasuk nyanyian solo oleh artis-artis tanah air iaitu Ali Zikruddin, Khairul Nazri, Atikah Thane, Dayat Ahim dan Fatin Muzini serta kumpulan Tausyeh ‘Sautul Barakah’ selain dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh daripada kumpulan BruHaha.
Para penonton juga berpeluang untuk menyertai Kuiz Pentarama dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Persembahan Pentarama akan diteruskan lagi ke Daerah Temburong esok di Pentas Perayaan, Kawasan Dermaga, Pekan Bangar.
