Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PENTARAMA meriahkan sambutan hari keputeraan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik telah meneruskan lagi Persembahan PENTARAMA di pentas perayaan kawasan letak kereta berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat selaku Ketua Kampung Subok.

    Turut hadir ialah ahli MMN, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan selaku Ketua Kampung Belimbing; Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji; Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Haji Amir Azman bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Abdul Rahman, serta penghulu dan ketua-ketua kampung Mukim Kota Batu.

    PENTARAMA atau pentas, tari dan drama adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan secara bersemuka melalui persembahan pentas sejak tahun 1988 dalam menyalurkan mesej yang membina minda masyarakat dan maklumat rasmi kepada orang ramai mengenai dasar dan aktiviti kerajaan.

    Persembahan dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA oleh barisan artis yang terdiri daripada Kumpulan Al Busyra yang juga mempersembahkan lagu-lagu berunsur dakwah dan nasihat.

    Selain itu, persembahan juga diisikan dengan sketsa drama bertajuk Bisikan Hijrah oleh Seni Kreatif Insan Seni yang antara lain mengisahkan ketua keluarga terlibat dengan penyalahgunaan dadah sehingga berlakunya keganasan dalam rumah tangga dan penderaan isteri dan anak yang akhirnya menghancurkan keharmonian sebuah keluarga.

    Orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh dari BruHaHa yang antara lain menyentuh mengenai isu kesihatan mental dan juga inisiatif Kementerian Kesihatan melalui Talian Harapan 145 yang antaranya memberikan khidmat nasihat atau kaunseling dalam menangani situasi atau tekanan yang menyebabkan gangguan mental atau emosi.

    Di samping itu, para penonton juga berpeluang untuk menyertai Kuiz Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan dan penyampaian hadiah-hadiah kepada para peserta disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Antara persembahan PENTARAMA yang memeriahkan lagi pentas perayaan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda