Oleh Yusoff Omar
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Para pengunjung dihiburkan dengan persembahan nyanyian, drama dan lawak jenaka di Pentas Perayaan Kawasan Dermaga, Pekan Bagar kelmarin.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri kelmarin, persembahan PENTARAMA itu dianjurkan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah.
Persembahan PENTARAMA itu juga dianjurkan bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 di Daerah Temburong.
PENTARAMA iaitu pentas, tari dan drama ialah salah satu kaedah berbentuk infotainment yang digunakan oleh Jabatan Penerangan untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lau How Teck. Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Yang Mulia Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Zon 1, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar serta Penghulu, Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi bersama bagi acara-acara Malam Keraian Daerah Temburong.

Persembahan dimulakan dengan lagu tema ‘PENTARAMA’ dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan dari artis-artis tanah air iaitu, Ahmadshah, Yaniey Junaini, Krunn Muhamad, Dayat Ahim dan Hazimah Hamdan.
Kumpulan Pento XYZ yang terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan pula mempersembahkan drama bertajuk ‘Scammer’. Manakala, Kumpulan RAJIKI pula menghiburkan para penonton dengan persembahan lawak jenaka yang bertajuk ‘Pasang Surut Kehidupan’ sebelum para penonton diberi peluang menyertai kuiz. Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian Dirgahayu oleh barisan artis.

Persembahan PENTARAMA ini akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain iaitu di Daerah Brunei dan Muara pada Sabtu, 20 Julai 2024, di Pentas Perayaan, Kawasan Lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja; pada Rabu, 24 Julai 2024 berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong bagi Daerah Tutong dan diakhiri pada Sabtu, 27 Julai 2024 di Daerah Belait, di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan Persembahan PENTARAMA bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78.


