MOSCOW, 30 Ogos – Datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata bahawa kerja pengubahsuaian ke atas Stadium Luzhniki, yang akan menghoskan final Piala Dunia 2018, kini sudah selesai.
“Kerja pembinaan semula Stadium Luzhniki sudah selesai. Pemeriksaan telah dibuat ke atas venue oleh para pakar dan bersedia untuk menghoskan beberapa acara,” kata Sobyanin yang dipetik dari agensi R-Sport.
Sobyanin menambah bahawa kerja pembinaan semula di stadium itu, di mana kapasitinya ditambah kepada 81,000, memakan belanja sekitar 24 bilion rouble (AS$410 juta).
Luzhniki di Rusia merupakan arena paling ikonik. Dibuka pada tahun 1956 dan menjadi stadium utama bagi Olimpik 1980, ia akan menghoskan perlawanan pembukaan dan final Piala Dunia tahun depan.

Badan pentabir bola sepak dunia, FIFA, telah melaporkan bahawa Luzhniki akan mengadakan perlawanan percubaan pertamanya antara Rusia dan Argentina pada 10 November.
Bagaimanapun, jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov berkata persetujuan mengenai perlawanan persahabatan antara dua negara tersebut masih belum dimuktamadkan.
Stadium itu sebelum ini telah menghoskan final Piala UEFA 1999, final Liga Juara-Juara 2008, dan Rugby Sevens World Cup dan Kejuaraan Dunia Olahraga IAAF pada tahun 2013.
Piala Dunia tahun depan akan diadakan di 12 buah stadium di seluruh 11 bandar Rusia, termasuk Moscow, St. Petersburg, Kazan dan Sochi, bandar-bandar yang menghoskan perlawanan-perlawanan Piala Konfederasi awal tahun ini. – AFP