Oleh Daniel Lim & Ak Zaki Kasharan
BELAIT, 25 JULAI – Persembahan PENTARAMA sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76, telah melabuhkan tirainya dengan persembahan terakhir di Daerah Belait di pentas perayaan, Gerai Tudung Saji, Sabtu lalu.
Dikelolakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, PENTARAMA atau pentas, tari dan drama adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan dalam menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas sejak 1988.
Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan persembahan-persembahan bertenaga yang disampaikan oleh para pegawai dan kakitangan dari Jabatan Penerangan.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Segmen persembahan PENTARAMA dimeriahkan dengan nyanyian solo daripada
artis-artis tanah air iaitu Jazmeen, Krunn Muhamad, Mat Fadhil, Pengiran Shahminan, Yaniey Junaini dan Fatin Muzini serta Kumpulan Putra Seni dan dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh dari kumpulan BruHaha.
Di samping itu, para penonton PENTARAMA juga berpeluang untuk menyertai kuiz kenegaraan yang mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Sementara itu, Majlis Malam Wira Bangsa telah memeriahkan pentas perayaan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Daerah Tutong, Sabtu lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Awang Adanan.
Antara pengisian acara adalah persembahan hiburan berbentuk nyanyian serta sesi interaksi bersama para pengunjung yang turut menawarkan pelbagai hadiah.