Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penternak ikan emas pelihara tradisi turun-temurun

    Gambar Yomiuri Shimbun

    YAMATO-KORIYAMA, NARA – Pemandangan kolam pembiakan ikan emas kini menjadi salah satu simbol Wilayah Nara.

    Bandar Yamato-Koriyama di wilayah itu dikatakan mempunyai sejarah selama 300 tahun dalam penternakan ikan emas, dan kini dianggap sebagai salah satu pengeluar ikan emas terbesar di Jepun, bersama kawasan Edogawa, Tokyo, dan Yatomi, Wilayah Aichi.

    Di sebatang jalan membeli-belah di pusat bandar, ikan emas boleh dilihat di mana-mana, termasuk dalam tangki air bulat yang diletakkan di hadapan kedai aksesori mazhab Buddha dan dalam tangki yang dipasang pada karya seni di pintu gerbang tiket stesen kereta api.

    Sejak 1995, kerajaan bandar telah menganjurkan Kejohanan Dunia Menangkap Ikan Emas.

    Dalam pertandingan itu, peserta bersaing untuk menangkap ikan emas dengan pencedok kertas, aktiviti yang sering dilihat di festival musim panas di seluruh Jepun. Terdapat peningkatan jumlah orang yang menghadiri acara tersebut, dan ia telah menjadi acara bermusim.

    Ikan emas menyambut pelawat di dewan perbandaran di Yamato-Koriyama, wilayah Nara.
    Ikan emas berenang dalam tangki di depan kedai kelengkapan mazhab Buddha di sebatang jalan di Yamato-Koriyama.
    Orang berlatih kemahiran mencedok ikan emas di Yamato Koriyama.
    Ikan emas berenang dalam sebuah kolam di Yamato-Koriyama, wilayah Nara.
    Ikan emas Edo Nishiki (atas) dan ikan emas Ryukin.
    Peninggalan kolam ikan emas sekitar era Edo yang ditemui semasa kerja menggali.

    Pada awal abad ke-20, Yamato-Koriyama menyumbang lebih daripada 60 peratus pengeluaran ikan emas di negara ini. Walaupun kolam ikan emas telah diubah semasa Perang Dunia II menjadi sawah padi atau kolam untuk menternak ikan keli untuk makanan, permintaan ikan emas seterusnya meningkat untuk permainan mencedok, sebahagiannya disebabkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun-tahun lepas peperangan.

    Bagaimanapun, pengeluaran ikan emas kemudian mencapai puncaknya. Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan penternakan ikan emas bergelut melalui peralihan akibat kadar kelahiran yang menurun dan kekurangan pewaris perniagaan tersebut di Jepun.

    Di sebuah bandar di mana teknik penternakan ikan emas telah diwarisi dari generasi ke generasi, ia telah menjadi satu pergelutan berterusan untuk memelihara industri tradisional itu.

    Di persimpangan

    Yamato-Kingyoen Co. telah berkecimpung dalam perniagaan akuakultur ikan emas selama hampir 100 tahun. Ia menternak 500,000 hingga 600,000 ikan emas setahun di kira-kira 60 kolam kecil dan besar dengan keluasan kira-kira 2 hektar. Melihat ke dalam kolam-kolam tersebut, seseorang dapat melihat kumpulan ikan emas yang cantik sambil menggerakkan sirip ekornya semasa berenang.

    Faktor yang paling penting dalam penternakan ikan emas adalah pemilihan ikan induk.

    Menurut Presiden Yamato-Kingyoen, Teruya Shimada, hanya satu daripada beberapa ribu ikan emas yang sesuai untuk menghasilkan keturunan ikan hiasan. Ikan emas yang dipilih dikelola secara berasingan, dan ikan dengan ciri-ciri yang diingini, seperti saiz mata dan bentuk sirip ekor yang menarik, dibiakkan.

    Kualiti air dan makanan juga harus dikendalikan dengan hati-hati. Terlalu banyak kutu air, yang dijadikan makanan untuk ikan muda, akan menyebabkan kekurangan oksigen, maka persekitaran yang baik harus dijaga dengan mengurangkan bilangan kutu air melalui penggunaan baja dan pembiakan fitoplankton. Oleh kerana makanan juga mempengaruhi warna ikan, pelbagai jenis makanan harus digunakan untuk peringkat pem-besaran dan variasi yang berbeza.

    “Kebanyakan pengetahuan yang diperlukan telah dikumpulkan oleh orang terdahulu melalui kajian dan penyelidikan. Kita harus mewarisinya kepada generasi seterusnya,” kata Shimada.

    Namun, penternakan ikan emas kini berada di persimpangan jalan di bandar ini. Menurut majlis perbandaran, 70 juta ikan emas telah dijual pada tahun 2008, tetapi jualan itu merosot kepada 50 juta pada 2020. Dengan penternak ikan emas semakin tua, bilangan entiti penternakan menurun dari 80 pada 1998 kepada 36 pada 2018, dan kawasan penternakan juga berkurangan dari 1.16 juta meter persegi kepada 480,000 meter persegi.

    Pandemik hanya memburukkan keadaan. Festival dan acara dibatalkan di seluruh negara, mengurangkan permintaan untuk ikan emas bagi permainan mencedok ikan. Permainan ini dahulunya menyumbang 80 peratus daripada jualan Yamato-Kingyoen, tetapi merosot teruk pada 2020 dan 2021.

    Koperasi perikanan ikan emas wilayah Koriyama, yang terdiri daripada pengeluar ikan emas di bandar tersebut, telah memulakan pengeluaran varieti premium seperti Kuro Ryukin dan Edo Nishiki. Permintaan untuk ikan emas hiasan semakin meningkat ketika lebih ramai orang tinggal di rumah. Dengan kerjasama kerajaan wilayah dan bandar, koperasi juga melancarkan projek untuk memberi subsidi kos penternakan Ryukin, Tancho dan varieti lain yang bernilai ¥10,000 hingga ¥20,000 setiap ikan.

    “Melihat ke depan, adalah perlu untuk menghasilkan ikan emas yang memperlihatkan keunikan pengeluar,” kata Shimada.

    Daripada kerja sampingan kepada sepenuh masa

    Terdapat beberapa teori mengenai bila ikan mas koi diperkenalkan di Jepun, tetapi teori yang paling diterima ialah ikan tersebut dibawa ke Sakai, Osaka pada tahun 1502. Dipercayai ikan tersebut diperkenalkan ke Yamato-Koriyama pada abad ke-18.

    Menurut sejarah bandar, ternakan ikan emas dahulu diamalkan sebagai pekerjaan sampingan oleh samurai, yang banyak terdapat di kawasan itu disebabkan terdapatnya istana setempat.

    Cara mereka memelihara ikan tidak diketahui untuk masa yang lama, tetapi pada 1993, lubang berukuran lebih 7.5 meter panjang, kira-kira 3.5 meter lebar dan 90 sentimeter dalam telah ditemui di tapak yang dipercayai kediaman samurai.

    Berdasarkan baldi makanan dan alat lain yang ditemukan, lubang tersebut kemungkinan adalah bekas kolam ikan emas.

    Apabila kawasan feudal dihapuskan pada 1871, samurai di seluruh negara kehilangan pekerjaan mereka. Samurai di Yamato-Koriyama bergantung pada penternakan ikan emas secara lebih intensif untuk mencari nafkah, mengubah pekerjaan sampingan mereka menjadi pekerjaan sepenuh masa.

    Pada 1887, Yanagisawa Yasunobu, penguasa terakhir wilayah Koriyama, mula mempelajari kaedah akuakultur di makmal dalam kediamannya dan mendedikasikan dirinya membantu anggota bekas wilayahnya.

    Mengenai sebab-sebab penternakan ikan emas berkembang pesat di Yamato-Koriyama, pegawai bandar berkata, “Kawasan itu mempunyai banyak takungan, menyediakan persekitaran yang baik untuk kutu air dan organisma lain yang menjadi makanan ikan emas.” – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda