Penternakan madu kelulut buahkan hasil yang lumayan

Oleh Rafidah Jumat

Memikirkan apa yang hendak dibuat selepas ‘bersara’ pada tahun 2014, bekas pegawai pertanian, Haji Kariya bin Haji Sulong, 60, memutuskan untuk cuba menternak madu kelulut sebagai aktiviti masa lapang selepas mendapat cadangan daripada isterinya.

Meskipun tidak mempunyai maklumat mendalam mengenai spesis serangga tersebut, dengan kecekalan hati dia dan isterinya Hajah Zaleha binti Haji Abdul Rahman, 55, pergi mendapatkan dua log kelulut dan menempatkannya di kawasan rumah mereka di Kampung Katimahar.

Bermula dari dua ‘rumah’ atau sarang sehingga memiliki tujuh sarang. Pasangan ini nekad menambah bilangan sarang yang dimiliki apabila teruja melihat madu kelulut yang diternak membuahkan hasil.

“Kami pergi ke hutan untuk mendapatkan lebih banyak log kelulut. Apabila sarang kelulut sudah mencapai lebih dari 50 sarang, kami mendapati madu yang dihasilkan semakin berkurangan.

“Kami mencari apa kesilapannya dan mendapati puncanya ialah sumber persekitaran yang tidak mencukupi untuk menternak lebih daripada 50 sarang kelulut,” kata Haji Kariya yang kini mengehadkan bilangan kepada 50 sarang sahaja di kawasan rumahnya.

Sebahagian produk kecantikan dan kesihatan yang dihasilkan daripada madu kelulut.
Madu kelulut yang diasingkan untuk pembuatan produk.
Pasangan suami isteri ini kini tersenyum lebar apabila usaha menternak kelulut yang dilakukan untuk mengisi masa lapang membuahkan hasil.
Proses menuai madu yang disedut keluar menggunakan pam sedut dari tempayan madu di sarang kelulut.

Menurutnya, tempat yang sesuai untuk menternak kelulut ialah kawasan yang banyak pokok bunga di mana pokok-pokok bunga ini mesti kaya dengan nektar, pollen dan resin. Rasa dan khasiat madu juga bergantung kepada pengaruh persekitaran kawasan terutama bunga dan buah yang menjadi sumber makanan kepada koloni berkenaan.

Rasa madu memiliki rasa yang berbeza seperti masam dan manis, warnanya juga memiliki variasi yang kadang-kadang berwarna gelap atau cerah serta kepekatannya juga bergantung kepada sumber makanan di persekitarannya, ujarnya.

Bercakap mengenai hasil tuaian, Haji Kariya berkata tuaian madu kelulut miliknya mampu menghasilkan kira-kira 15 kilogram madu sebulan dengan kekerapan mengambil sebanyak dua kali sebulan. Walau bagaimanapun kadangkala hasilnya tidak menentu kerana ia juga bergantung kepada sumber makanan di persekitaran dan juga saiz sarang.

“Ada kelulut mudah ‘merajuk’ dan apabila madunya diambil, ia seolah-olah tidak suka dan tidak mahu menghasilkan madu untuk bulan seterusnya,” kata Hajah Zaleha yang tidak akan mengambil kesemua madu ternakannya.

Penulis yang sebelum ini tidak pernah melihat sarang kelulut secara dekat diberi peluang untuk merasai keaslian madu yang disedut terus dari tempayan sarang menggunakan picagari yang memiliki rasanya yang manis dan sedikit masam serta menyifatkan pengalaman ini sebagai luar biasa.

Penulis turut mengamati bentuk ‘rumah’ kelulut dan mendapati terdapat corong yang dikatakan Hajah Zaleha dibuat sendiri oleh kelulut sebagai pintu keluar masuk. Dalam setiap rumah kelulut, lebah ini mempunyai seekor ‘ratu’ yang menjadi ketua bagi lebah-lebah kelulut lain. Walaupun lebah kelulut ini tidak berbisa (Stingless Bee) tetapi ia akan mengerumuni musuh untuk menghalaunya daripada mendapatkan madu.

Menurut Haji Kariya lagi, lebah kelulut ini mempunyai peranan masing-masing, ada yang ditugaskan membuat sarang telur, menjaga makanan dan memberi makan ratu, mengawal koloni, mengawal pintu masuk sarang, mencari makanan dan bermacam-macam lagi peranannya.

“Kita juga perlu memastikan kelulut ini terhindar daripada ancaman binatang atau serangga lain kerana kelulut tidak suka jika ‘rumah’ mereka dicerobohi oleh musuh-musuh seperti semut, lebah atau makhluk perosak lain, kata Hajah Zaleha pula.

Haji Kariya turut memberitahu penulis yang kelulut ini taat pada sarangnya dan sanggup mati bersaing untuk mendapatkan apa yang diperlukan untuk sarangnya. Penulis turut dimaklumkan mengenai kelulut yang hanya akan meninggalkan sarangnya jika ia rosak ataupun basah, dan menariknya lagi kelulut adalah sejenis serangga pembersih dan penulis mengakui apabila melihat sen-diri keadaan salah satu dari sarang kelulut yang memang kelihatan bersih.

Pasangan ini menternak lima jenis lebah kelulut iaitu Tetrigona binghami, Geniotrigona thoracica, Tetragonula fuscobalteata, Heterotrigona itama dan Lepidotrigona terminate yang berbeza segi saiz dan warna.

Penempatan rumah kelulut ini perlu diletakkan di kawasan redup seperti bawah pokok kerana jika di kawasan terbuka dan terdedah kepada panas, lebah kelulut ini mungkin mati atau lari membuat sarang di tempat lain.

Penulis turut berpeluang melihat proses menuai madu kelulut yang ditunjukkan Haji Kariya iaitu dengan menggunakan pam sedut. Tempoh tuaian perlu dilakukan apabila ia benar-benar matang kerana khasiat madu akan berkurang jika dituai sebelum tempoh matang.

Madu kelulut yang siap disedut akan dibotolkan dan disimpan terus dalam peti sejuk untuk mendapatkan suhu sesuai dan mengelak dari mendapat tindak balas gas sekiranya tergoncang atau digoncang. Selain madu, kelulut ini juga menghasilkan propolis di mana Hajah Zaleha menggunakannya untuk pembuatan produk namun untuk penggunaannya, ia perlu ditumbuk hancur terlebih dahulu.

Pasangan ini turut mengongsikan pengalaman mereka menghadiri seminar berkaitan madu kelulut di luar negara.

“Melalui seminar itu, kami menyedari yang kami telah melakukan banyak kesalahan dalam menternak kelulut,” jelas Hajah Zaleha ketika mengimbas kembali penglibatan awal mereka mengusahakan kelulut.

Pasangan ini juga menyertai kursus di Pulau Pinang pada bulan Mac 2015 dan telah mempelajari bahan-bahan asas dan formula yang diperlukan untuk mempelbagaikan produk madu kelulut seperti produk penjagaan kulit.

Melalui pengetahuan dan pemahaman yang dipelajari, pasangan ini berani mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa bantuan mana-mana kewangan untuk menghasilkan produk yang difikirkan berpotensi dipasarkan di negara ini.

“Apa saja produk boleh dihasilkan dari madu kelulut jika kita tahu asas-asasnya,” kata Haji Kariya sambil menambah kata produk pertama yang dihasilkan isterinya ialah sabun berasaskan madu kelulut.

“Selepas produk pertama, kami mengembangkannya kepada produk-produk lain pula seperti losyen, pencuci muka, lulur, gel mandian, syampu rambut dan bermacam lagi,” kata Hajah Zaleha yang turut mencampurkan bahan-bahan seperti halia, kunyit, serai, bidara, rumput-rampai dan sebagainya sebagai tambahan khasiat dalam produk madu kelulutnya.

Ketika mula-mula menghasilkan produk madu kelulut, pasangan ini berdepan kesukaran untuk memperkenalkan produk mereka di pasaran negara ini.

“Sebagai permulaan, kami mempromosikan produk kami dengan menyertai ekspo-ekspo dalam negara dan Alhamdullilah selepas satu tahun, produk kami mula dikenali ramai,” kata pasangan ini yang turut mengambil bahagian dalam ekspo di China dan Jepun dalam usaha memperkenalkan produk-produk tempatan dari Brunei Darussalam.