Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penternakan udang pancing kekayaan petani Vietnam

    SOC TRANG, Vietnam – Dengan memakai jam tangan emas dan sebentuk cincin yang cantik, Tang Van Cuol kelihatan jauh berbeza daripada petani-petani Vietnam lainnya apabila dia cuba beralih arah dari sektor pertanian beras dan cuba menggandakan hasil pendapatannya.

    Selepas bertahun-tahun mengusahakan penanaman beras dan bawang atau penternakan itik, dia yang berusia 54 tahun itu berkata kehidupannya telah berubah pada tahun 2000 – kerana udang. Delta Mekong, yang sudah lama dikenali sebagai ‘mangkuk nasi Vietnam’, kini juga telah menjadi tempat bagi industri udang yang bernilai berbilion-bilion dolar dan jumlah petani yang berkembang pesat sedang meningkatkan kekayaan mereka dari udang bersaiz kecil.

    “Perusahaan udang boleh membawa kepada pendapatan yang besar, tidak ada tolak bandingnya,” kata Cuol sambil makan tengah hari bersama kawan-kawannya.

    Pada tahun ini, dia menjangka untuk memperolehi satu billion dong, atau sekitar AS$44,000 – suatu jumlah yang sangat besar di delta itu, di mana para petani beras akan memperolehi sekitar AS$100 sebulan. Bonanza udang ini bermula pada tahun 1990-an ketika paras air laut naik dan air masinnya meresap ke Delta Mekong.

    Ia telah melonjak selari dengan permintaan dari AS dan Kesatuan Eropah. Penduduk tempatan pantas melihat mengambil peluang perubahan itu dan ianya sesuai bagi penternakan udang.

    Padi yang ditanam di ladang sawah di daerah My Xuyen, selatan Vietnam. – AFP
    Seorang petani udang menggunakan bakul plastik untuk memindahkan udang dari satu tempat ke tempat yang lain di sebuah kolam di daerah My Xuyen. – AFP

    Kekayaan ini telah mengubah bahagian Cuol di wilayah Soc Trang: kenderaan motosikal menggantikan basikal di jalan-jalan yang baru diturap, dengan pembinaan rumah-rumah konkrit bertingkat mulai muncul yang mana ianya tidak pernah terbayang pada generasi yang lalu.

    Cuol memiliki beberapa motosikal, membiayai perkahwinan anak perempuannya dan dipercayai mempunyai koleksi barangan antik ‘yang bernilai ratusan juta dong’.

    Tetapi penyokong alam sekitar memberi amaran bahawa rahmat dari perladangan udang yang intensif ini mungkin tidak kekal lama. Pencemaran dan penyakit yang ada pada masa ini selalunya memberi kesan kepada penternakan udang-udang ini.

    Tetapi krisis yang lebih meluas dijangka disebabkan oleh pemusnahan hutan bakau untuk memberi laluan kepada perladangan, mendedahkan kawasan itu kepada angin ribut dan meningkatkan lagi paras air laut yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

    “Ini tidak akan berkekalan,” kata Andrew Wyatt, Pengurus Program Delta Mekong di International Union for Conservation of Nature (IUCN).

    IUCN menggalakkan para petani untuk memelihara bakau dan berhenti menggunakan bahan kimia berbahaya agar udang mereka dapat disahkan sebagai organik, menghasilkan premium lima hingga 10 peratus dalam proses tersebut.

    Namun petani udang mengatakan ganjaran kewangan ini terlalu besar untuk diabaikan. Sama seperti bapa dan datuknya, Tang Van Tuoi mengalami kesukaran sebagai seorang petani beras. Dia tidur di bawah bumbung nipah dan hanya memperolehi pendapatan yang cukup untuk menampung keluarganya.

    Tetapi apabila air masin mula masuk ke dalam sawahnya – dia mula melihat peluang itu dan mula menternak udang.

    “Kini semuanya telah membangun, kami mempunyai kenderaan, jalan raya, dan banyak pembangunan telah mengubah suasana,” katanya kepada AFP.

    Walaupun berada pada tahun yang buruk, dia boleh mendapat pendapatan yang lebih sebagaimana yang dilakukan oleh seorang petani beras. Pada tahun yang baik, dia boleh memperolehi sehingga AS$40,000. Dengan adanya wang itu, dia telah membina tiga buah rumah untuk keluarganya.

    Para pekerja Vietnam menolak bakul yang dipenuhi udang di Syarikat Makanan Laut Khanh Sung di daerah My Xuyen. – AFP
    Udang-udang yang diproses di Syarikat Seafood Khanh Sung. – AFP

    “Kami mempunyai wang, semuanya mencukupi bagi kami,” kata ayah yang mempunyai enam orang anak itu.

    Tetapi dia mengakui bahawa perladangan seumpamannya adalah seperti satu perjudian. Kolamnya pernah dilanda penyakit dan pencemaran. Diambang risiko jangka panjang, pihak kerajaan telah menentang pembukaan perindustrian udang di seluruh rantau itu walaupun air laut terus meresap jauh ke kawasan pedalaman.

    Sebaliknya, pihak berkuasa telah membiayai berjuta-juta dolar untuk memulihkan zon air tawar yang diperlukan untuk penanaman padi di sepanjang Delta Mekong. Strategi ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan rantau itu dapat menghasilkan beras yang mencukupi untuk menampung keperluan rakyat negara itu.

    Tetapi apabila negara itu memasuki alam pembaharuan pasaran, keajaiban pengeksportan udang yang berpenghasilan tinggi ini – kebanyakannya dihantar ke Eropah dan Amerika Syarikat – telah menjadi semakin menarik.

    Pada tahun ini, perdana menteri negara itu telah menyeru agar pengeksportan udang mencapai AS$10 bilion menjelang 2025, melonjak dari AS$3 bilion tahun lepas. Pada masa yang sama, pendapatan eksport dari beras terus menurun sejak tahun 2011, menjadikannya AS$2.2 bilion pada tahun lepas.

    “Mereka cuba menjalin kesinambungan antara menghasilkan wang daripada eksport dan pembangunan ekonomi, namun enggan mengabaikan keselamatan makanan dalam jangka masa panjang,” kata Tim Gorman, penyelidik PHD di Cornell University.

    Akibatnya, kedua-dua polisi ini menggalakkan kemasukan pendapatan yang cepat, hasil dari perladangan udang dan melindungi tanaman padi untuk masa depan. Ini boleh kelihatan bertentangan atau tidak menggembirakan bagi para petani.

    Di sesetengah kawasan, kerajaan kini menggesa para petani untuk menanam padi pada setengah tahun dan menuai udang pada separuhnya lagi – sesuatu yang sukar buat petani seperti Thach Ngoc Cuong yang tidak sabar-sabar untuk meninggalkan penanaman beras.

    Dia mempunyai dua plot di wilayah Soc Trang, salah satunya mengandungi air tawar untuk beras, dan yang lain adalah masin sesuai bagi udang yang sangat berharga.

    “Saya sangat gembira jika kita dapat meningkatkan penghasilan udang di samping beras,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda