Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Hubungan diplomatik sesama negara rakan adalah sangat penting terutama sekali dalam meningkatkan keupayaan dalaman menerusi kerjasama dua hala yang membawa faedah jangka panjang dan berkepentingan bersama.
Ini bukan saja dari segi politik seperti menubuhkan perhubungan antara dua kerajaan, perkara-perkara keselamatan dan pembanterasan, malahan juga sosial dari segi pertukaran belia, pelajar, pelawat dan ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan.
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof menjelaskan, dari segi sosial di mana kerja sama diadakan melalui pertukaran belia, pelajar, pelawat dan dari segi ekonomi seperti meningkatkan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua buah negara.
Di samping itu, jelas Yang Berhormat Dato, negara juga terus aktif dalam keahlian di pertubuhan serantau dan antarbangsa seperti ASEAN, Bangsa-Bangsa Bersatu, OIC, Komanwel, APEC dan juga Non-Aligned Movement (NAM).
Dengan adanya pergolakan Geopolitik dan GeoEkonomik, jelasnya, dunia yang tidak menentu dan sentiasa mencabar di mana keahlian negara dalam pertubuhan yang relevan ini dapat memperkukuh lagi negara sebagai ahli masyarakat dunia yang bertanggungjawab, merdeka, berdaulat dan rakyat yang mempunyai jiwa kebangsaan walaupun negaranya sebuah negara yang kecil.
Beliau menekankan perkara ini semasa menyampaikan mukadimah pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN)pada hari keempat bersidang di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Dato sete-rusnya menambah, di samping melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi tujuan tersebut, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHEDN) juga berperanan sebagai penyelaras dan tempat perhubungan bagi agensi kerajaan di negara ini bukan saja bagi misi-misi negara asing yang menetap dan tidak menetap di Brunei tapi juga bagi pertubuhan serantau dan antarabangsa.
Bukan setakat itu, tegas Yang Berhormat Dato, pihak kementerian juga berpera-nan sebagai extension agensi kerajaan keluar dari negara ini menerusi pejabat perwakilan Brunei seperti dalam usaha mempromosi produk tempatan, peluang pelaburan dan perdagangan serta untuk mendapatkan maklumat terperinci yang berguna oleh agensi berkenaan.
Ini adalah selaras dengan pendekatan keseluruhan negara khususnya dalam sama-sama berusaha untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Salah satu peranan yang sering didengar dan kurang diamati, tegasnya, adalah peranan yang dimainkan oleh KHEDN dan perwakilan di bawahnya iaitu hal ehwal konsulat di mana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengambil berat atas keamanan dan keselamatan rakyatnya di dalam atau luar negara.
Dalam perkara ini, pihak perwakilan turut bersedia menghulurkan bantuan secara sementara apabila rakyat di negara ini mengalami kecemasan seperti mengalami terjadi gempa bumi atau kemalangan semasa berada di luar negara sehingga sanak saudara atau keluarganya dapat memberi bantuan seterusnya.
Dalam perkara yang sama juga bagi membolehkan pihak perwakilan mengenal pasti sama ada rakyat negara Brunei terlibat atau berada di tempat kejadian berkenaan di mana ia memerlukan maklumat terkini yang hanya diperoleh sekiranya individu tersebut membuat makluman awal menerusi e-registration yang disediakan dalam laman utama KHEDN.
Beliau seterusnya menyatakan, makluman ini adalah perlu bagi memudahkan perwakilan untuk bertindak secepat mungkin dalam mengatasi kecemasan yang dialami individu tersebut.
Dalam mukadimah tersebut, Yang Berhormat Dato turut menyentuh mengenai cabaran global di Abad ke-21 yang dilihat kekal berterusan dan ini ditambah dengan isu baharu seperti berita palsu, fakta palsu dan lainnya.
“Ini memerlukan usaha-usaha bersama dengan negara-negara rakan serta kerjasama dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa,” tegasnya.
Yang Berhormat Dato percaya, dengan adanya dasar luar negara yang mantap dan telah diuji masa ini, Brunei akan terus dihormati oleh masyarakat antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam sama-sama menyediakan belanjawan 2019-2020 dan bagi peruntukkan gaji kakitangan dan perbelanjaan berulang- ulang dan perbelanjaan kemajuan.