Penting Kesan awal barah payudara

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Bagi mengingati Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut di seluruh dunia setiap bulan Oktober, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah mengadakan ceramah kesedaran barah payudara untuk Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) yang berlangsung di Lecture Theatre, tingkat RF, hari ini.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, ceramah yang dihadiri oleh lebih 60 ahli PEKERTI itu adalah sebagai sokongan untuk membantu meningkatkan kesedaran, pengesanan awal dan rawatan serta perawatan paliatif terhadap penyakit tersebut.

Lebih daripada 60 peratus pesakit barah payudara di Brunei didiagnosis pada peringkat akhir ketika barah itu sudah merebak ke nodus limfa dan organ lain.

Satu kajian pada baru-baru ini yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup lima tahun pesakit menurun daripada 92 peratus pada peringkat awal barah payudara kepada 21 peratus pada barah tahap akhir.

Kanser payudara merupakan jenis barah yang sering terjadi dalam kalangan wanita di Brunei, dengan 100 kes baharu dicatatkan se-tiap tahun antara tahun 2009 dan 2018.

Majlis penyampaian penghargaan kepada JPMC daripada pengerusi PEKERTI. – Gambar serahan JPMC

Menurut kenyataan itu lagi, Ketua Pegawai Operasi JPMC, Dayang Zauyah binti Mohd Tarmizi turut memberi ucapan yang menyatakan, “Hari ini adalah kesempatan bagi kita untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan kesihatan barah payudara dan pentingnya memikul tanggungjawab peribadi terhadap kesihatan.

“Ketika barah dikesan pada tahap akhir, di mana ia telah merebak ke organ lain, maka perawatan tidak semudah yang diharapkan dan akan memakan tempoh lebih lama, sehubungan itu, pemeriksaan awal dan intervensi adalah pilihan terbaik,” tambahnya.

Sementara itu, penceramah yang diundang, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi JPMC, Dr Siti Khadijah binti Ismail, menekankan pentingnya pengesanan awal dengan melakukan pemeriksaan payudara sendiri secara berkala (BSE), atau melalui pengimejan payudara diagnostik seperti mamogram atau ultra bunyi.

“BSE adalah penting, cara yang sederhana dan bebas kos untuk mengawal kesihatan anda.

“Dengan mengetahui bagaimana payudara dan penampilan payudara anda secara normal, anda dapat mengesan perubahan di dalamnya dan mengambil tindakan tanpa menunggu janji temu doktor atau membuat pemeriksaan mamogram atau ultra bunyi,” jelas Dr Siti Khadijah.

“Pengesanan awal akan memberi wanita pilihan rawatan yang lebih baik dan peluang hidup yang lebih tinggi. Risiko dapat dikurangkan dengan menerapkan gaya hidup sihat yang merangkumi banyak latihan dan diet seimbang,” tambahnya lagi.

Acara diakhiri dengan majlis penyampaian penghargaan kepada JPMC daripada isteri Timbalan Pesuruhjaya Polis selaku pengerusi PEKERTI, Datin Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abdul Samad.

Bersempena dengan bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia yang disambut awal Oktober, Jabatan Pengimejan Diagnostik (DDI) JPMC, akan menawarkan promosi pemeriksaan payudara untuk wanita dari semua peringkat usia bermula 1 hingga penghujung Oktober ini.