Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penting patuhi amalan mampan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang diperkenalkan pada 2015, mengukuhkan lagi keperluan mendesak untuk beralih daripada model perniagaan dan ekonomi tradisional untuk menangani isu-isu kedayatahanan dan kemampanan di serata dimensi alam sekitar, sosial dan ekonomi.

    Oleh itu, adalah penting untuk mematuhi amalan-amalan mampan dalam dunia perniagaan, ekonomi, kewangan serta peranan persekitaran kawal selia yang membolehkan penyediaan sebuah rangka kerja telus bagi pihak-pihak berkepentingan relevan.

    Penekanan kepada pembangunan mampan berkenaan ditekankan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dalam ucapannya di perasmian Persidangan Antarabangsa bagi Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF) ke-4 yang berlangsung di Bilik Senat, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Dalam hubungan itu, beliau gembira melihat jumlah perniagaan yang meningkat menerima guna kemampanan sebagai nilai teras di mana mereka mengenali akan keuntungan jangka panjang yang berkaitan dengan kesihatan bumi.

    Instrumen kewangan mampan, tambahnya, juga semakin mendapat tempat dengan penggemblengan modal baharu bagi inisiatif-inisiatif alam sekitar dan produk-produk pinjaman hijau.

    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyampaikan ucapannya semasa perasmian ICBEF yang berlangsung di Bilik Senat, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Di samping itu, model-model ekonomi yang mengutamakan tanggungjawab sosial dan alam sekitar juga mula muncul sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing.

    “Pelaburan dalam teknologi hijau inovatif dan penggunaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi juga dianggap mustahak bagi meningkatkan usaha penyingkiran karbon dan penyahkarbonan ke arah hala tuju sifar bersih,” ujarnya.

    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina berkata lagi bahawa penekanan kepada perancangan berintegrasi dan dasar-dasar inklusif yang selaras dengan keperluan tempatan merupakan kunci dalam memastikan peralihan yang berdaya tahan serta menumpukan kepada komuniti.

    “Tindakan bersepadu di semua peringkat adalah amat penting di mana hanya melalui kolaborasi, kita dapat bergerak ke hadapan dengan lebih pantas dan mencapai lebih banyak.

    “Tidak ada satu entiti, sama ada kerajaan, korporat atau individu, yang boleh memikul beban yang amat besar bersendirian.

    “Usaha untuk menyelesaikan cabaran-cabaran kemampanan memerlukan pemimpin daripada sektor awam dan swasta dan komuniti untuk bekerjasama serta membangunkan penyelesaian inovatif bagi perubahan bermakna,” tekannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda