Tuesday, January 21, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penting untuk kekal bersahabat dengan Trump – Erdogan

    ISTANBUL, 21 JAN – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kelmarin menekankan kepentingan mengekalkan hubungan kukuh dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, selepas beliau kembali ke Rumah Putih.

    “Adalah sangat penting bagi kami untuk mengekalkan persahabatan yang sama seperti dalam penggal pertama Trump,” kata Erdogan. Beliau juga mengalu-alukan kenyataan Trump bahawa dia akan segera menamatkan perang Rusia-Ukraine, dengan menyatakan bahawa Turkiye bersedia untuk menyumbang kepada usaha damai.

    “Turkiye memihak kepada keamanan. Dengan keamanan ini, kami percaya bahawa perpaduan antara negara di dunia harus diteruskan. Perang tidak akan membawa kita ke mana-mana,” tambahnya, menekankan keperluan untuk tindakan diplomatik segera.

    Erdogan berkata beliau akan membincangkan perkara ini dengan Trump dalam mesyuarat akan datang dan mengambil langkah yang perlu sewajarnya.

    Berbalik kepada perjanjian gencatan senjata Gaza, Erdogan menggesa pelaksanaan sepenuhnya dan menekankan keperluan untuk bantuan kemanusiaan tanpa gangguan kepada enklaf itu.

    Bercakap pada sidang media bersama di Ankara dengan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, Erdogan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan Israel menunaikan tanggungjawabnya dalam gencatan senjata tiga fasa, yang bermula pada Ahad.

    “Turkiye komited kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya”, Erdogan mengulangi. – Bernama/AA

    Recep Tayyip Erdogan semasa menghadiri sesi pleno di Sidang Kemuncak Komuniti Politik Eropah (EPC) di Budapest, pada November 2024. Beliau tekankan kepentingan bersahabat dengan Trump. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda