Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingkah pemilihan warna tali pancing?

    Oleh Raz AS

    Apabila seorang pemancing singgah ke kedai pancing untuk membeli tali pancing baharu, perkara pertama yang disedarinya adalah tali-tali pancing yang tersedia untuk dijual di kedai tersebut datang dalam pelbagai jenis warna yang diperbuat daripada bahan-bahan yang berbeza.

    Dengan pilihan warna yang sangat banyak itu, seperti warna hijau, hitam, biru, merah, kuning, kelabu serta berbagai-bagai lagi warna pelangi, pastinya ramai antara kita yang terfikir sejauh manakah pentingnya pemilihan warna dan impak warna tali pancing ketika memancing.

    Apabila ditanya rakan-rakan pemancing tegar yang lain, masing-masing memberikan jawapan yang berbeza mengikut teori mereka sendiri. Contohnya ada yang lebih suka menggunakan tali berwarna hitam, alasannya tali berwarna hitam tidak nampak atau camouflaged ketika berada di dasar. Ada yang mengatakan warna hijau atau biru lebih bagus kerana menyerupai warna air sungai atau laut. Malah tidak kurang juga ada yang mengatakan tali berwarna lut sinar itu akan berkilau di dalam air dan sama ada akan menakutkan ikan melihatnya atau menarik minat ikan buntal untuk menggigit.

    Mungkin teori-teori tersebut ada benarnya kerana berkemungkinan setiap warna yang berlainan adalah lebih sesuai digunakan mengikut kaedah pancingan, lokasi dan juga masa. Meskipun setiap teori yang diketengahkan itu berbeza namun persamaan yang ketara nampak di sini adalah keyakinan mereka terhadap peralatan yang mereka gunakan.

    Sebagai seorang pemancing kita sentiasa berusaha untuk menipu ikan agar tidak teragak-agak untuk memakan umpan yang disajikan. Pelbagai cara yang kita praktikkan atau mungkin saja pernah mendengarnya seperti menyembunyikan sama sekali mata kail di dalam umpan, lure betul-betul menyerupai rupa ikan, menggunakan tali ‘hantu’ atau ‘halimunan’ dan lain-lain.

    Antara kepentingan menggunakan tali pancing yang berlainan warna ialah memudahkan seseorang pemancing itu mengenal pasti pancing mana yang digetu ikan sekiranya lebih daripada satu pancing yang digunakan. – Agensi

    Oleh itu jika diikut logik akal manusia, tali pancing yang kelihatan bersambung sehingga ke umpan pastinya tidak akan kelihatan autentik dan tidak akan dapat menipu ikan serta boleh membuatkan ikan takut atau ragu-ragu memakannya.

    Namun itu adalah mengikut logik kita manusia yang dianugerahkan akal fikiran. Bagaimana pula halnya dengan ikan yang mempunyai otak yang jauh lebih kecil yang hanya mengikut naluri dan tidak mampu memahami konsep-konsep rumit seperti tipu helah atau konsep memancing secara amnya. Meskipun tali pancing kelihatan, mampukah ikan memahami bahaya di sebalik makanan yang tersedia di hadapan matanya, seperti kehadiran mata kail tajam yang sedia menancap mulut mereka atau pemancing yang bersedia untuk menariknya sebaik sahaja ia memakan umpan.

    Secara teorinya ikan boleh sahaja belajar untuk mengenal pasti bahaya kehadiran tali pancing, namun itu hanya terhad kepada ikan yang telah pernah dipancing atau berulang-ulang kali dipancing dan dilepaskan semula. Walau bagaimanapun tidak seperti manusia, ikan tidak dapat berkongsi pengalaman atau cerita sesama mereka akan bahaya makanan yang kelihatan bersama tali pancing.

    Bercakap mengenai cerita pula, kita sebagai pemancing sememangnya sangat gemar berkongsi kisah suka-duka ketika memancing. Kisah-kisah kecundang mahupun kejayaan ketika turun memancing sememangnya seronok didengar dan sering kali diceritakan meski berulang-ulang.

    Kadang-kadang atau mungkin juga selalunya kisah-kisah ini lebih diperbesar-besarkan daripada apa yang sebenarnya telah berlaku.

    Contohnya kisah yang selalu kita dengar atau mungkin kita sendiri pernah bercerita adalah kita atau rakan seperahu tidak memperoleh seekor pun sedangkan yang ada sama di sana berpesta menaikkan tangkapan meskipun umpan yang digunakan sama sahaja.Timbullah pelbagai andaian antaranya adalah akibat perbezaan warna tali yang digunakan.

    Sedangkan ia mungkin sahaja berdasarkan faktor-faktor yang kita sendiri tidak dapat kawal, seperti nasib masing-masing dan kelakuan ikan di bawah bot. Jika tidak, masakan ada kisah mengenai orang atau kita sendiri yang pernah memperoleh banyak tangkapan menggunakan tali berwarna terang yang biasa digunakan sebelumnya.

    Banyak pemancing di seluruh dunia bersetuju bahawa terdapat banyak lagi faktor yang lebih penting dalam pemilihan tali berbanding warna.

    Seperti jenis bahan ia diperbuat daripada, kekuatannya, diameternya, faktor mudah kusut atau tidak, impaknya terhadap aksi umpan, mudah terapung atau tenggelam dan lain-lain lagi.

    Oleh itu ramai yang merumuskan bahawa pemilihan warna tali pancing sebenarnya adalah lebih penting buat pemancing itu sendiri berbanding kepentingannya kepada ikan.

    Antara kepentingan menggunakan tali pancing yang berlainan warna ialah memudahkan seseorang pemancing itu mengenal pasti pancing mana yang digetu ikan sekiranya lebih daripada satu pancing yang digunakan. Atau sekiranya memancing diwaktu malam, warna tali pancing yang terang lebih mudah kelihatan berbanding warna gelap. Atau juga tali berwarna pelangi yang dapat membantu pemancing mengenal pasti kedalaman umpan yang dilabuhkan.

    Walau bagaimanapun rata-ratanya berpendapat setiap pemancing itu perlu menggunakan peralatan dan tali pancing yang dapat memberikan mereka keyakinan dan keselesaan fikiran agar pemancing dapat memancing dengan lebih tenang tidak kiralah hendak menggunakan tali pancing warna apa di mana jua dalam apa pun keadaan dan waktu turun memancing.

    Suka warna merah gunakan tali warna merah, suka warna biru gunakan warna biru dan begitulah seterusnya. Tepuk dada tanya selera, jika rasa-rasanya dalam hati was-was untuk menggunakan tali warna terang di air yang jernih kerana sepertinya ia berlawanan dengan akal kita, gunakanlah warna tali yang kita yakin tidak kelihatan untuk keselesaan hati kita sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda