PADA era pascaglobalisasi ini, kita sering mendengar masalah remaja yang semakin hari semakin teruk. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka terlibat dengan gejala sosial, seperti vandalisme dan gengsterisme.
Oleh yang demikian, ibu bapa seharusnya memainkan peranan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk sahsiah yang cemerlang dan terbilang dalam diri anak. Peranan ibu bapa penting kerana apabila ibu bapa memainkan peranan dengan baiknya, masalah yang berkaitan dengan remaja tidak akan berlaku.
Ibu bapa juga perlu menitikberatkan hal ehwal anak agar mereka tidak terjebak dengan perkara yang negatif yang mengundang impak kepada masa depan mereka. Ibu bapa harus bertindak dari sekarang agar masalah yang berkaitan dengan remaja dapat diselesaikan.
Remaja amat penting kepada negara kerana mereka golongan pelapis dan akan memimpin negara pada masa akan datang. Jika remaja rosak, maka masa depan negara turut musnah. Seyogia ibu bapa mendidik anak dengan baiknya agar mereka mampu menjadi insan yang mampu memimpin negara dengan adil dan bijaksana. Oleh itu, terdapat beberapa peranan yang seharusnya dilaksanakan oleh ibu bapa dalam membentuk sahsiah yang cemerlang dalam diri anak.
Antara peranan ibu bapa termasuklah meluangkan lebih banyak masa dengan anak agar mereka tidak berasa kesunyian atau diabaikan oleh ibu bapa mereka sendiri.

Ibu bapa tidak seharusnya terlalu sibuk dengan kerja masing-masing sehingga mengabaikan obligasi mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan remaja yang terlibat dengan gejala sosial mendakwa bahawa mereka terlibat oleh sebab ibu bapa mereka tidak mengambil peduli mengenai mereka dan tidak meluangkan masa dengan mereka sebagai akibat sibuk dengan kerja. Perkara tersebut menyebabkan mereka lebih cenderung untuk meluangkan masa bersama-sama rakan. Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya mementingkan harta berbanding dengan anak kerana harta tidak dapat dibawa ke mana-mana apabila meninggal dunia.
Namun begitu, apabila ibu bapa memiliki anak yang soleh dah solehah, mereka dapat membantu ibu bapa dalam kubur apabila mereka mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka kerana doa anak yang soleh termakbul. Hal ini jelas dinyatakan dalam hadis daripada Al-Bukhari yang berbunyi, “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya.”
Oleh yang demikian, ibu bapa seyogia meluangkan masa dengan anak agar mereka tidak berasa terpinggir daripada ibu bapa mereka sendiri yang menyebabkan mereka terjebak dengan perkara yang negatif. Ibu bapa hendaklah mendidik anak dengan baiknya kerana anak merupakan aset kepada ibu bapa di akhirat.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah mengawasi pergerakan anak untuk mengelakkan mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai tamsilan, ibu bapa hendaklah sentiasa bertanya kepada anak mereka tentang tempat yang hendak dituju jika mereka hendak keluar bersama-sama rakan. Ibu bapa juga seyogia tahu akan kawan anak mereka agar tidak berkawan dengan mereka yang mampu membawa pengaruh negatif. Ibu bapa hendaklah mengawasi anak apabila mereka menggunakan alat komunikasi, seperti telefon pintar.
Hal ini dikatakan demikian kerana banyak anak yang menyalahgunakan teknologi untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Ibu bapa seharusnya menyediakan payung sebelum hujan agar perkara tersebut tidak berlaku kepada anak mereka. Ibu bapa seyogia mengambil tindakan yang sewajarnya mengenai penggunaan teknologi oleh anak kerana banyak kes yang berlaku melibatkan golongan remaja perempuan, terutamanya yang ditipu oleh warga asing yang kononnya kacak dan kaya dan menyebabkan remaja perempuan tersebut sanggup mengambil risiko dengan melarikan diri dari rumah semata-mata untuk mengikut lelaki warga asing yang tidak dikenali identitinya. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut serta memikirkan inisiatif yang berkesan agar perkara tersebut tidak berlaku kepada anak mereka sendiri.
Di samping itu, didikan agama yang cukup juga merupakan satu daripada faktor yang mampu membentuk sahsiah yang cemerlang dalam diri anak. Seperti yang kita tahu, banyak ibu bapa sekarang yang kurang menitikberatkan didikan agama kepada anak yang menyebabkan mereka terjebak dengan heterogen masalah sosial. Agama merupakan perkara yang paling vital yang perlu diisi dalam diri anak. Didikan agama yang utuh dalam diri anak mampu mencegah mereka daripada terjebak dengan perkara yang negatif kerana mereka mampu membezakan antara perkara yang hak dengan batil.