Oleh Daniel Lim
BELAIT, 25 OGOS – Dalam membantu menyediakan platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan diet pemakanan yang seimbang, Kelab Belia Masjid Zainab telah menganjurkan satu siri aktiviti dinamakan A Bowl of Glow, hari ini.
Aktiviti yang diadakan di Masjid Zainab, Lumut berkenaan telah diikuti oleh beberapa orang ahli kelab belia serta wanita-wanita muda dari kawasan sekitar dan selainnya.
Acara berkenaan merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti yang kerap dikendalikan oleh kelab berkenaan dengan acara terkini berkenaan memfokuskan terhadap kesedaran mengenai pemakanan harian dan bagaimana ia memberi kesan kepada kesihatan seseorang.
Sehubungan itu, antara aktiviti yang diadakan adalah taklimat untuk menyebarkan maklumat berkaitan yang disampaikan oleh pengasas bersama Fuel’d serta pakar pemakanan kesihatan dan kecergasan, Dayang Shazrinah Shazali.
Dalam taklimatnya itu, belia menyentuh mengenai mikro dan nutrien mikro serta bagaimana membahagi hidangan tanpa perlu memikirkan jumlah kalori.
Taklimat turut disusuli dengan sesi soal jawab yang membolehkan hadirin membangkitkan soalan mengenai pelbagai topik yang dibincangkan. Selain itu, para peserta juga menyertai panduan dan sesi tutorial Salad Bowl Assembly, di mana mereka diajar untuk menghasilkan mangkuk salah dengan mengambil kira nilai nutrien bagi setiap bahan yang dipilih dan memilih yang lebih sihat.
Pada penghujung sesi berkenaan, para peserta menikmati salad yang mereka hasilkan yang akan membantu mengaspirasikan mereka untuk membuat salad di rumah.
