Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 April – Hampir 300 orang telah menyertai acara Berjalan Pantas (Brisk Walk) anjuran Pusat Membeli-Belah KBSentral bersempena dengan Hari Kesihatan Sedunia 2017 berlangsung di sini, hari ini.
Acara tersebut yang diadakan bermula dan berakhir di kawasan lobi kereta di hadapan pintu masuk pusat tersebut turut disertai oleh tetamu kehormat, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman dan pegawai-pegawai serta kakitangan KBSentral dan lainnya.
Acara tersebut dimulakan dengan senamrobik beramai-ramai, kemudiannya diteruskan dengan pelepasan bagi perjalanan sejauh kira-kira 6.5 kilometer dan setelah semua peserta kembali ke KBSentral diteruskan lagi dengan acara cabutan hadiah bertuah dan bergambar ramai.



Aktiviti itu diadakan antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada kalangan orang ramai tentang pentingnya menjaga kesihatan, dari segi fizikal dan mental dan juga untuk menukar persepsi yang menganggap bersenam itu hanya membazirkan masa dan menyukarkan.
Di penghujung acara tersebut juga turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang bertuah yang membawa pulang jam A360 Polar yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.