Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya kajian manuskrip

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Manuskrip Islam merupakan khazanah dan warisan ilmu Islam yang perlu dipelihara kerana ia merupakan satu medium penyimpanan maklumat bagi pembangunan umat manusia.

    Justeru dalam terus berusaha untuk memelihara khazanah berharga ini, para individu perlu memahami corak pemikiran alam Nusantara menerusi manuskrip sama ada yang bersifat eksplisit atau implisit bagi kelangsungan tamadun umat ke arah pembentukan keperibadian bangsa, nilai kenegaraan, nilai kepimpinan, nilai beragama dan nilai akhlak.

    Perkara tersebut merupakan antara yang dibincangkan di dalam seminar Majlis Ilmu 2019 yang diadakan di Dewan Teater, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini. Seminar anjuran bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Jabatan Mufti Kerajaan itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang.

    Hadir pada seminar sesi pagi ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Penolong Mufti (Buhuth), Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Subtema seminar pagi bagi sesi 1 ialah ‘Membudayakan Penyelidikan Manuskrip’ yang dibentangkan oleh tiga orang pengkaji dan dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i, UNISSA, Dr Azme bin Haji Matali.

    Antara para pembentang kertas kertas seminar Majlis Ilmu 2019.

    Antara pengkajinya ialah President of the Indonesian Association for Nusantara Manuscript, Professor Dr Oman Fathurahman, Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Professor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Profesor Universiti Sains Malaysia dan ahli Persatuan Manuskrip Islam, Malaysia, Profesor Dr Jelani Harun.

    Manakala pada sesi 2, seminar yang dipengerusikan oleh Dekan Pelajar, UNISSA, Dr Supri bin Haji Sudin, beberapa kertas kerja telah dibentangkan oleh Profesor Adjung, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, UNISSA, Profesor Dr Mahayuddin bin Haji Yahya, Profesor Madya Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah, KUPU SB, Profesor Madya Dr Syamsul Bahri Andi Galigo dan Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

    Sementara itu pada sesi petang, dua sesi pembentangan dengan subtema ‘Manuskrip Islam dalam Melestari Keunggulan Ilmu Islam’ telah dibentangkan.

    Kedua-dua sesi menyaksikan enam kertas kerja dibentangkan dari pakar dalam dan luar negara.

    Hadir sama dalam seminar sesi petang ini ialah Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mazanan, Dr Haji Norarfan, Dr Siti Norkhalbi dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Dalam pembentangan sesi tiga, pembentang terdiri daripada Pengarah Pusat Pengkajian Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Dr Harapandi Amaq Hairani, Penterjemah khusus Bahasa Arab, Pusat Sejarah Brunei, Dr Haji Abdul Kadir bin N C Mohamad dan Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR), Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong serta Pengarah Institut Pengajian Dasar, UBD, Dr Mahani bin Haji Hamdan selaku moderator pembentangan.

    Dalam sesi empat pula, tiga kertas kerja dibentangkan oleh Pensyarah Fakulti Syariah, UNISSA, Dr Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar, Profesor Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan dan Timbalan Pengarah, Akademi Pengajian Brunei, UBD, Prof Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail.

    Pembentangan dipengerusikan oleh Pensyarah, Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr Malai Yunus bin Malai Yusuf.

    Seminar itu diharap akan dapat mempromosikan ketamadunan Islam kepada dunia melalui kajian manuskrip dan mempengaruhi kesedaran akan pentingnya kajian manuskrip Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda