Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya kerjasama dalam kemampanan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Kerjasama padu semua pihak termasuk pihak yang berkepentingan dalam kemampanan adalah amat diperlukan untuk sama-sama menyumbang kepada usaha mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

    Sehubungan itu, Forum Masa Depan Kemampanan yang membawa tema Mission Possible: Sustainability in Action telah diadakan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir dan menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad bagi mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir dan menyampaikan ucapan pembukaan ialah Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah.

    Kira-kira 150 orang pemimpin korporat, usahawan dan pelajar menghadiri forum berkenaan yang mewakili pelbagai industri serta institusi di negara ini.

    Ahli-ahli panel semasa forum mengenai Sustainability: What it Means, What Is at Stake and What We Can Do. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Para jemputan yang menghadiri majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Program mengetengahkan sesi dialog yang menyentuh mengenai bagaimana pelbagai pihak yang berkepentingan dalam kemampanan dapat bekerjasama untuk memberikan sumbangan kepada usaha mencapai SDG.

    Forum itu mengetengahkan empat orang pembentang luar negara dari United Kingdom, Filipina dan Indonesia yang membincangkan persoalan penting berkaitan dengan kemampanan, sekuriti makanan dan pemuliharaan alam sekitar.

    Para pembentang juga disertai oleh penceramah dan ahli panel dari Brunei yang mengetuai amalan kemampanan dalam organisasi dan perniagaan masing-masing.

    Sesi bertajuk Sustainability: What It Means, What Is at Stake, and What We Can Do, bermula dengan pembentangan daripada Profesor David Grayson yang merupakan penulis bersama buku bertajuk The Sustainable Business Hand-book, di mana beliau menekankan mengenai kemampanan dan tanggungjawab korporat.

    Sesi diteruskan dengan perbincangan yang merangsang bersama Ketua Peralihan Tenaga di Syarikat Minyak Brunei Shell, Shirley Sikun dengan dikendalikan oleh Pengerusi Asia Inc Forum, Dato Timothy Ong.

    Forum diteruskan dengan sesi dialog dengan pemimpin-pemimpin korporat bertajuk Sustainability in Business: How to Make It Work, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Manuel Bulens; Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Fertilizer Industries, Dr Harri Kiiski dan Ketua Strategi Korporat bagi Kemampanan di PETRONAS, Wan Sayuti bin Wan Hussin dengan dialog dikendalikan oleh Pengurus Negara di DHI Brunei, Liaw Lin Ji.

    Sesi forum terbuka dan panel perbincangan berkenaan meneroka perspektif dalam membangunkan dan melaksanakan strategi-strategi alam sekitar, sosial dan urus tadbir bagi perniagaan yang lebih besar serta maju.

    Sesi forum pada sebelah petang dibukakan dengan pembentangan bertajuk Cultivating the Future of Food yang disampaikan oleh United Nations Environment Programme Young Champion of the Earth, National Geographic Young Explorer dan Pengasas The Cacao Projek di Filipina, Louise Mabulo. Kemudian, sesi soal dan jawab dikendalikan oleh Penyelaras Program Asia Inc Forum, Pengiran Hanna Pengiran Hassanal.

    Manakala itu, sesi dialog bersama usahawan bertajuk Business Opportunity and Sustainablity: Stories from the Frontlines mengetengahkan panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group, Wong Thye Sing; Pengasas Bersama Kaimana Living, Tiffany Lai dan Pengasas Mori Farm, Jun Hong Lim dengan dialog dikendalikan oleh Pengurus Besar Program Serantau, Asia Inc Forum, Andrew Dy.

    Sesi terakhir forum berkenaan ialah dialog bersama pelajar yang dimulakan dengan perkongsian daripada Pengasas Bersama Rebricks, Indonesia, Novita Tan dan Ovy Sabrina bertajuk From Plastics to Bricks, di mana mereka mengongsikan bagaimana Rebricks menukar bahan buangan plastik kepada bahan binaan eko yang dikitar semula.

    Dialog itu diteruskan dengan perkongsian idea-idea praktikal untuk bumi daripada pelajar-pelajar dari pelbagai sekolah dengan sesi dikendalikan oleh Pengurus Kanan Ghanim International Corporation, Fatin Arifin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda