Oleh Nurdiyanah R. –
Dalam meniti liku-liku kehidupan ini, kita tidak terlepas daripada mengalami rangkaian emosi, cabaran dan ujian.
Ini kerana perkara tersebut adalah bersifat universal yang mana semua itu boleh menyumbang kepada faktor-faktor yang berhubung kait dengan isu-isu kesihatan mental.
Mungkin ramai dalam kalangan kita yang masih tidak sedar atau pun hanya mengambil ringan mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian. Masalah kesihatan mental bukan sahaja merujuk kepada akal tidak sihat, namun tekanan, keresahan, insomnia dan kemurungan juga adalah sebahagian daripada tanda-tanda masalah kesihatan mental yang boleh memudaratkan diri seseorang jika tidak ditangani segera dan boleh membawa kepada peristiwa tragis seperti bunuh diri dan jenayah lain.
Kesihatan Mental adalah Hak Asasi Manusia
Tanggal 10 Oktober merupakan detik penuh makna sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023. Dengan tema tahun ini iaitu Kesihatan Mental adalah Hak Asasi Manusia yang membolehkan kita untuk menggandakan lagi usaha bagi memastikan semua masyarakat di negara ini khasnya menerima penjagaan kesihatan mental yang berkualiti dan hak asasi manusia serta kesejahteraan mental dan anggota.
Penyakit mental, juga dikenali sebagai kecelaruan mental, boleh menjejaskan sesiapa sahaja di mana keadaan kesihatan yang melibatkan perubahan dalam pemikiran, emosi atau tingkah laku yang sering menyebabkan seseorang individu itu sukar untuk menampung tekanan biasa dan menjalani rutin harian. Bahkan gejala ini juga boleh berlaku dalam pelbagai peringkat iaitu peringkat biasa atau ringan, di mana ia hanya menyebabkan kecelaruan terhad sahaja. Sementara peringkat yang teruk boleh menyebabkan seseorang itu memerlukan rawatan hospital dan perubatan yang intensif.
Lazimnya, masalah kesihatan mental itu terdiri daripada kemurungan, gangguan keresahan, insomnia dan juga stres yang sememangnya boleh membawa implikasi negatif bukan sahaja kepada individu berkenaan, bahkan juga ahli keluarga, rakan sekerja dan juga masyarakat amnya.
Menyentuh mengenai stres, ia adalah tindak balas fizikal, emosi dan pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara atau keadaan yang mana ia berlaku apabila seseorang itu berasa berada di luar kawalan atau kemampuan dirinya dalam mengerjakan sesuatu perkara atau tugasan. Manakala gangguan keresahan atau lebih dikenali sebagai ‘uri’ di negara ini adalah satu kondisi psikologi di mana seseorang itu mengalami perasaan takut dan bimbang.
Insomnia pula ialah kesukaran untuk tidur atau tiada keupayaan untuk mendapatkan tidur yang mencukupi yang mana ia boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal seseorang seperti mudah berasa mengantuk dan letih pada keesokkan hari serta boleh memberikan kesan pada aktiviti seharian secara keseluruhannya.
Selain itu, salah satu gangguan perasaan atau emosi antaranya adalah sering berasa sedih, gelisah dan tidak gembira, di mana ia adalah sebahagian daripada tanda-tanda gangguan kesihatan mental yang dikenali sebagai kemurungan yang mana jika ia dibiarkan berlaku berpanjangan, maka ia boleh menjadi satu penyakit sehingga boleh menjejaskan pekerjaan, rumah tangga dan kesihatan individu tersebut.
Secara keseluruhannya, masalah kesihatan mental berkenaan adalah berpunca dari tidak berkeyakinan diri; bebanan kerja yang berat; masalah hubungan kekeluargaan, pasangan atau rakan; dan juga masalah kewangan atau kesihatan.
Hargai nikmat kesihatan
Justeru itu, menjaga kesihatan diri sama ada jasmani mahupun rohani adalah perkara yang amat dituntut dalam ajaran Islam. Melalui penjagaan kesihatan yang teratur, kita dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Namun, manusia sering alpa kerana kesihatan yang memberikan nilai dalam hidupnya hingga tidak menghargai betapa berharganya nikmat kesihatan itu dalam kehidupan ini.
Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa berharganya nilai kesihatan setelah ditimpa penyakit atau berada dalam kondisi kurang sihat dan seumpamanya.
Natijahnya, hargailah nikmat kesihatan dengan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan melakukan aktiviti riadah atau senaman, pemakanan yang sihat dan seimbang, mendekatkan diri bersama insan-insan yang berjiwa positif agar segala pemikiran dan persekitaran kita juga terarah kepada nilai-nilai positif.
Rentetan itu, kita juga harus mendapatkan tidur yang mencukupi dan sentiasa mendapatkan bantuan profesional sama ada daripada pakar psikologi atau kaunselor apabila mengalami gejala-gejala masalah kesihatan.
Bersatu kita awasi, dengar dan bantu
Meskipun cabaran demi cabaran sering menerjah kehidupan kita, namun yakinlah semua ujian itu datangnya daripada Allah SWT dan pasti ada hikmah di sebaliknya.
Bayangkan, jika kita mengalihkan pandangan ke arah laut yang memiliki kecantikan air yang membiru dan penuh ketenangan, akan tetapi apa yang terpendam di dalam lautan tersebut tidak siapa yang tahu, hanya Tuhan Yang Maha Kuasa sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitulah cerminan kehidupan manusia di dunia yang fana ini.
Tuntasnya, bersama-samalah kita berganding bahu dalam menjaga ahli keluarga dan orang-orang di sekeliling kita dengan sentiasa mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat dari semasa ke semasa demi mewujudkan masyarakat yang sentiasa memiliki kesihatan mental dan juga fizikal yang baik. Jadilah insan yang prihatin dengan mengawasi, mendengar dan membantu.
Ingatlah, tanggungjawab untuk mencegah penyakit mental bukan hanya terletak kepada badan atau perkhidmatan kesihatan mental semata-mata tetapi juga pihak lain termasuk institusi pendidikan, badan profesional serta masyarakat keseluruhannya.
Hal ini adalah amat penting dititikberatkan oleh semua pihak kerana rakyat dan penduduk merupakan sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif untuk negara.
Dengan kata lain, rakyat dan penduduk yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama Islam dan adanya nilai keBruneian yang tinggi ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi Kementerian Kesihatan Bersama Ke Arah Warga Sihat.