DALAM kehidupan masyarakat yang sentiasa mengejar arus pembangunan, media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan wawasan negara. Media massa dikatakan mampu mendidik rakyat serta mampu menentukan arah kehidupan masyarakat. Namun, sejauh manakah kebenaran pernyataan ini?
Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di negara kita. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya ‘Information Technology’ atau dalam Bahasa Melayunya ‘Teknologi Maklumat’. Internet digunakan dengan meluas dinihari kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum lagi dipastikan kesahihannya. Selain itu, maklumat juga dapat diperolehi melalui cabang-cabang media massa yang lain seperti televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya. Bertitik tolak dari situlah, media massa mampu meningkatkan taraf sosial seseorang individu melalui penerimaan maklumat terkini dan penggunaan peralatan moden dan terkini. Justeru itu, media massa dapat menentukan arah kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi dan pemodenan negara dapat dilaksanakan.
Bukan itu sahaja, media massa juga membantu meningkatkan jumlah cendekiawan di negara ini. Peningkatan yang mendadak ini telah juga melahirkan banyak golongan profesional misalnya doktor pakar bedah, peguam, arkitek dan sebagainya. Dengan wujudnya golongan intelektual ini, ekonomi negara turut sama ditingkatkan melalui idea-idea yang bernas berhubung sesuatu perkara bertujuan untuk memajukan negara. Golongan profesional ini sudah tentunya mendapatkan maklumat daripada media massa untuk memodenkan negara. Pendedahan penggunaan media massa terhadap setiap lapisan masyarakat tidak hanya tertumpu kepada masyarakat bandar sahaja.
Ini supaya masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pemodenan dan seterusnya mendapat maklumat yang sama. Dengan ini, jumlah intelektual di negara ini dapat ditingkatkan dengan pembabitan setiap lapisan masyarakat bandar mahupun luar bandar.
Selain itu, media massa juga mampu memupuk sikap gemar membaca dalam kalangan masyarakat. Pemupukan sikap gemar membaca tidak hanya tertumpu kepada golongan pelajar sahaja, malahan penglibatan setiap anggota masyarakat adalah amat digalakkan. Institusi-institusi swasta boleh mengambil langkah yang sama iaitu dengan menyediakan perpustakaan agar minat membaca dapat ditanam dalam kalangan pekerja dan di samping itu, masa tidak terbuang begitu sahaja. Dengan ini, penggunaan media massa sebagai satu cara memupuk minat membaca tidak dapat dinafikan lagi.
Media massa juga memberi faedah kepada institusi serta badan kerajaan mahupun swasta yang tertentu. Dengan ini, jelaslah bahawa kepentingan media massa pada anggota masyarakat hari ini dalam mendapatkan pekerjaan, maklumat dan sebagainya.
Justeru itu, penggunaan media massa telah sedikit sebanyak mendidik rakyat ke arah kehidupan yang lebih baik dan selesa.
Masyarakat yang berdaya fikir tinggi sejajar dengan wawasan negara dapat dibentuk dan arus pemodenan negara dapat dijalankan dengan berjayanya tanpa sebarang halangan yang mampu menggugat kestabilan ekonomi dan keamanan negara.