Monday, October 21, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya membudayakan data yang kukuh

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi meraikan sambutan Hari Statistik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan menganjurkan bengkel bertemakan Enhancing Administrative Data in Building Sound Policies yang diadakan di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwelath Drive, Jalan Kebangsaan, kelmarin.

    Acara berkenaan menghimpunkan lebih 60 peserta dari agensi kerajaan dengan menekankan kepentingan membudayakan data yang kukuh dalam kalangan institusi kerajaan, bagi kepentingan penggubalan dasar yang berkesan dan kemajuan negara ke arah masa depan yang berdaya tahan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    Hadir merasmikan bengkel berkenaan ialah Pemangku Ketua Pengarah JPES, Dayang Heidi Farah Sia binti Abdul Rahman.

    Dalam ucapan pembukaan, beliau menekankan tema bengkel tersebut menunjukkan komitmen Jabatan Perangkaan untuk mengukuhkan budaya yang berasaskan data di semua peringkat kerajaan.

    Beliau juga menekankan kepentingan peranan data tepat dan boleh dipercayai sebagai input dalam memacu kemajuan negara, dengan menekankan fungsi agensi pentadbiran sebagai barisan hadapan dalam penghasilan data penting ini.

    Lebih 60 peserta dari agensi kerajaan menyertai bengkel sempena meraikan Hari Statistik Kebangsaan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    Beliau menambah pengutipan data mesti beradaptasi dengan keadaan yang berubah di mana matlamatnya adalah untuk memastikan data yang dikutip akan membantu membuat keputusan-keputusan yang wajar bagi menyokong pembangunan negara, merangka dasar yang lebih efektif, dan meningkatkan daya ketahanan negara.

    Jelasnya, pengumpulan data bukan hanya tanggungjawab ahli statistik di Jabatan Perangkaan semata-mata.

    Ianya melibatkan usaha kolektif, termasuk kakitangan barisan hadapan dan pasukan pemprosesan data, bagi memastikan maklumat yang dikumpulkan tepat pada masanya, relevan dan berguna.

    Data yang dihasilkan daripada aktiviti harian bukan sekadar angka atau tugas birokrasi, tetapi merupakan alat berkuasa apabila digunakan dengan efektif, di samping dapat menyumbang kepada dasar yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan membentuk asas kepada infrastruktur statistik negara.

    Bengkel berkenaan turut menampilkan beberapa pembentangan pegawai-pegawai JPES, termasuk Pemangku Pengarah Jabatan Perangkaan, Awang Bahrum bin Kadun, Pegawai-pegawai Perangkaan Kanan dan Dr Hazwan Haini, seorang penyelidik berpengalaman dari Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS).

    Para pembentang berkongsi pandangan mengenai topik berkaitan pengenalan dan peranan data pentadbiran dalam menghasilkan statistik sosio-ekonomi negara serta keperluan statistik dari segi pengguna.

    Bengkel itu juga mengandungi sesi perbincangan interaktif kalangan para peserta dengan bertukar pandangan berkaitan isu-isu yang dihadapi dan cadangan-cadangan berpotensi, termasuk pembinaan kapasiti, peningkatan literasi data, pemanfaatan teknologi, serta meningkatkan kerjasama dan komunikasi dalam usaha menyelaraskan perbezaan data antara agensi kerajaan.

    Hari Statistik Kebangsaan disambut dengan menekankan kepentingan peranan statistik dalam pembangunan negara.

    Acara itu selaras dengan saranan United Nations Statistical Commission’s recommendation untuk menyebarluaskan akan kepentingan statistik di peringkat nasional. Sambutan itu menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf keutamaan peranan statistik dalam membentuk masa depan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda