Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya memelihara akal berpandukan sunah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Memelihara akal atau menjaga kecerdasan dan kemampuan berfikir adalah aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim. Pemeliharaan akal ertinya memberi perlindungan kepada akal manusia dari apa-apa yang akan merosakkan.

    Oleh yang demikian, akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat serta sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada segala unsur yang boleh merosakkan akal dengan sesegera mungkin.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Dakwah Tutong, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Nurhuwaina binti Mamud semasa menyampaikan sebuah tazkirah khas berjudul Memelihara Akal Berpandukan Sunah Rasulullah SAW pada Majlis Perhimpunan Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Daerah Tutong bagi Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2024 Masihi, baru-baru ini.

    PENTINGNYA AKAL DALAM AGAMA ISLAM

    Pada majlis yang berlangsung di Dewan Jubli, Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT), Dayang Nurhuwaina dalam tazkirah berkenaan turut menyentuh mengenai kedudukan akal dalam agama Islam dan kepentingannya.

    “Akal adalah anugerah Allah yang sangat berharga. Dengan akal, kita dapat membezakan antara yang benar dan yang salah, kita dapat memahami perintah Allah dan mengamalkan syariatNya dengan bijaksana. Akal juga merupakan salah satu kurniaan Allah yang membezakan manusia dari makhluk lainnya,” jelasnya.

    Dayang Nurhuwaina semasa menyampaikan tazkirah khas bertajuk ‘Memelihara Akal Berpandukan Sunah Rasulullah SAW’ pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Majlis berkenaan turut diserikan dengan Dikir Marhaban yang menjadi penyeri suasana majlis perhimpunan wanita berkenaan yang dipersembahkan oleh guru-guru besar dan guru-guru sekolah agama Jabatan Pengajian Islam Daerah Tutong. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara Muslimah yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Beliau turut menyatakan dalam Al-Quran, Allah sering kali memuji orang-orang yang menggunakan akal mereka dengan sebaik-baiknya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mukminun, ayat 115 sebagaimana tafsirnya, ‘Maka adakah kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami (untuk dihisab dan menerima balasan)?’.

    Ayat ini mengingatkan kita bahawa kehidupan ini bukanlah sia-sia, kita harus menggunakan akal kita untuk memahami dan melaksanakan perintah Allah dengan penuh tanggungjawab.

    SUNAH DALAM MEMELIHARA AKAL

    Dalam pada itu, Dayang Nurhuwaina turut mengemukakan bagaimana memelihara akal berpandukan sunah Rasulullah SAW yang antaranya melalui enam perkara iaitu dengan mencari ilmu; menjaga kesihatan fizikal dan mental; menghindari pengaruh negatif dengan mengelakkan perbuatan yang membahayakan akal; berfikir dan merenung; menghindari stres dan kelelahan berlebihan; dan berdoa dan memohon petunjuk.

    Jelasnya lanjut, dalam mencari ilmu, Nabi Muhammad SAW memotivasi umatnya untuk selalu mencari ilmu dan pengetahuan. Berdasarkan hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda Rasulullah SAW bersabda yang antaranya bermaksud ‘Menuntut ilmu adalah kewajiban setiap Muslim’.

    Dengan ilmu, ujar beliau lagi, kita dapat membuat keputusan yang bijaksana dan menjaga akal kita agar tetap tajam. Ini turut dibuktikan melalui sabda Baginda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang antaranya bermaksud, ‘Barang siapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Dia akan difahamkan dalam agamanya’.

    Jelasnya, ilmu adalah cahaya yang menerangi akal kita. Dengan menuntut ilmu, kita bukan sahaja meningkatkan pengetahuan tetapi juga mengasah kemampuan akal.

    Dayang Nurhuwaina turut menambah, Rasulullah SAW sangat menekankan kepentingan menjaga kesihatan tubuh dan mental sebagai cara memelihara akal.

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda Rasulullah SAW bersabda antaranya bermaksud, ‘Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan (hadith riwayat Muslim)’. Hadith ini menunjukkan pentingnya menjaga kesihatan dan kekuatan tubuh untuk memastikan akal kita berfungsi dengan baik.

    Beliau antaranya juga menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mengingatkan kita untuk menjauhi pengaruh-pengaruh negatif yang boleh merosakkan akal kita. Dalam hadith Baginda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, yang antaranya bermaksud, ‘Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang pandai besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau bisa membeli minyak wangi daripadanya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan pandai besi, bisa jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap’.

    Oleh yang demikian, jelas Dayang Nurhuwaina, memilih sahabat yang baik dan beriman adalah penting kerana mereka mempengaruhi cara berfikir dan tindakan kita.

    Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan dalam tazkirahnya bahawa Rasulullah SAW sering menganjurkan umatnya untuk berfikir dan merenung tentang ciptaan Allah SWT.

    Dalam hadith riwayat Bukhari, Baginda Rasulullah SAW bersabda yang antaranya bermaksud, ‘Renungkanlah apa yang Allah ciptakan di langit dan bumi. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal’.

    “Berfikir tentang ciptaan Allah dapat memperkuat iman dan membantu kita menggunakan akal dengan lebih baik,” ujarnya.

    Di samping itu, tekan Dayang Nurhuwaina, kita juga dituntut menjaga kesejahteraan mental dan emosional untuk kesihatan akal. Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk menjaga keseimbangan antara ibadah dan kehidupan sehari-hari, serta tidak membebani diri dengan beban yang tidak perlu.

    “Berdoa kepada Allah SWT agar diberikan petunjuk dan kecerdasan juga merupakan bahagian dari menjaga akal. Dalam doa, kita boleh meminta bimbingan agar akal kita tetap sihat dan terjaga,” jelas beliau dalam tazkirahnya yang telah dihadiri lebih 400 orang Muslimah di majlis bersempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda