KEPUPUSAN hidupan liar kebanyakannya adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia. Aktiviti pembalakan akan memusnahkan sesuatu habitat dan spesies haiwan dalam suatu jangka masa tertentu. Selain itu, pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan pupus.
Pembukaan kawasan pertanian baharu seperti pembukaan tanah baharu turut menggalakkan kepupusan fauna. Antara yang paling kritikal adalah pembukaan kawasan baharu untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi. Pemburuan haram yang berleluasa di hutan-hutan negara juga adalah faktor kepupusan habitat dan spesies haiwan kerana permintaan tinggi dari negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Britian dan Eropah terhadap haiwan-haiwan eksotik yang hanya terdapat di beberapa buah negara di dunia.
Pencemaran laut juga menyumbang kepada kepupusan hidupan laut. Tumpahan minyak dan sampah-sarap serta pembuangan sisa toksik ke dalam laut menyebabkan kemusnahan hidupan laut. Hal ini boleh membunuh ikan dan tumbuhan seperti haiwan air yang lain.
Perubahan suhu dunia juga menyebabkan sesuatu spesies mengalami kepupusan. Pemanasan global telah menyebabkan terdapat haiwan yang tidak dapat hidup dalam keadaan suhu yang terlampau panas. Manakala pembawaan wabak penyakit oleh spesies lain terhadap sesuatu spesies juga boleh mengakibatkan spesies tersebut menjadi pupus.

Kesan kepupusan hidupan liar
Hidupan liar yang semakin pupus akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem. Penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh menyebabkan kemusnahan dan pengecilan habitat haiwan tertentu seperti harimau dan gajah yang memerlukan kawasan yang luas. Kawasan hutan yang kecil akan mengurangkan kemampuan haiwan-haiwan ini mencari makanan dan juga mencari pasangan untuk tujuan pembiakan. Selain itu, aktiviti perikanan moden dan pengurangan bilangan haiwan telah menyebabkan sesuatu spesies haiwan menjadi pupus.
Kepupusan hidupan liar akan menyebabkan sesuatu spesies tidak lagi wujud atau ditemui di tempat lain. Selain itu, kepelbagaian haiwan dan tumbuhan adalah merupakan daya tarikan utama pelancong asing. Ekonomi pelancongan sesebuah negara akan menjadi semakin merosot seiring dengan kepupusan hidupan liar. Generasi akan datang juga tidak dapat melihat spesies-spesies yang wujud sekiranya spesies-spesies ini pupus. Mereka hanya dapat melihat spesies-spesies ini dalam buku sahaja. Pembelajaran seharusnya menjadi lebih menyeronokkan apabila pelajar-pelajar sekolah dapat mengenali haiwan-haiwan yang dilindungi dengan lebih dekat lagi seperti mengadakan lawatan ke zoo dan tempat-tempat pemuliharaan.
Kepentingan memulihara hidupan liar
Pemuliharaan hidupan liar adalah amat penting bagi mengekalkan ekosistem. Setiap spesies memainkan peranan masing-masing dalam memastikan ekosistem berada dalam keadaan stabil. Hidupan liar juga amat penting kerana dapat memberikan sumber maklumat atau pendidikan kepada masyarakat terutama sekali kepada pelajar sekolah. Sebagai contoh harimau dikategorikan kepada beberapa subspesies seperti Harimau Sumatera, Harimau Bengal, Harimau Indochina, Harimau Malaya dan Harimau China Selatan. Oleh itu, masyarakat akan berpeluang untuk mengenali spesies-spesies itu secara lebih dekat sekiranya haiwan-haiwan ini dilindungi daripada pupus.