Friday, February 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya pemeriksaan tulang belakang kesan skoliosis

    KUALA LUMPUR – Memahami apa itu skoliosis dan mengetahui bila perlu mendapatkan rawatan adalah kunci kepada intervensi dan pencegahan penyakit tersebut.

    Ia sekali gus membantu seseorang individu mendapatkan konsultasi yang tepat pada masanya, selain memberi sokongan emosi kepada pesakit serta menghapuskan salah tanggapan mengenai penyakit itu.

    Skoliosis biasanya dikaitkan dengan kecacatan putaran tulang belakang yang menyebabkan tulang belakang berpusing dan melengkung ke satu sisi.

    Perunding dan Pakar Bedah Tulang Belakang di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr Saw Lim Beng berkata skoliosis merupakan kelainan pada tulang belakang yang paling lazim berlaku dan merupakan keadaan perubatan yang mana tulang belakang kelihatan seperti berbentuk ‘S’ atau ‘C’ serta boleh berlaku pada mana-mana bahagian tulang belakang, termasuk bahagian atas (torasik), bawah (lumbar), tengah (torakolumbar) atau juga lengkung berganda (double curve) di bahagian atas dan bawah.

    Jelas beliau kondisi ini boleh berlaku kepada semua peringkat umur dan walaupun ia sering bermula ketika peringkat kanak-kanak atau remaja, ia juga boleh menjadi lebih ketara apabila meningkat dewasa serta jika dibiarkan tidak dirawat, skoliosis boleh menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan serta kemungkinan komplikasi jangka panjang.

    Dr Saw Lim Beng, Perunding dan Pakar Bedah Tulang Belakang di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway. – Gambar SMC
    Kebanyakan pesakit skoliosis tidak mengadu sakit manakala ada yang mungkin mengalami ketidakselesaan di bahagian belakang badan apabila mereka duduk atau berdiri lama. – Gambar Freepik
    Skoliosis Kongenital dan Skoliosis Infantil boleh dikesan seawal beberapa tahun pertama selepas kelahiran, manakala Skoliosis Idiopatik pada remaja adalah sejenis skoliosis yang paling biasa dalam kalangan pesakit belasan tahun. Bagi Skoliosis Degeneratif, ia biasanya didiagnosis pada mereka yang berada pada pertengahan usia sekitar 40 hingga 50 tahun.– Gambar Freepik
    Lakukan senaman otot teras secara konsisten dan senaman menguatkan otot sekitar tulang belakang. – Gambar Freepik

    “Skoliosis Kongenital dan Skoliosis Infantil boleh dikesan seawal beberapa tahun pertama selepas kelahiran, manakala Skoliosis Idiopatik pada remaja adalah sejenis skoliosis yang paling biasa dalam kalangan pesakit belasan tahun.

    Bagi Skoliosis Degeneratif, ia biasanya didiagnosis pada mereka yang berada pada pertengahan usia sekitar 40 hingga 50 tahun,” kata pakar tulang belakang itu.

    Untuk mengesan keadaan itu, Dr Saw menggunakan ujian klinikal ringkas yang dikenali sebagai ujian lenturan ‘Adam Forward’.

    Menerusi ujian ini pesakit dikehendaki membongkok ke hadapan dan doktor akan berdiri di belakang pesakit untuk membandingkan paras bahagian kiri dan kanan belakang dada dan pinggang, bagi mengesan bonggol pada satu sisi belakang yang menunjukkan pesakit menghidap skoliosis.

    Simptom lain katanya termasuk ketidakseimbangan bahu iaitu satu sisi lebih tinggi serta kecondongan pelvis.

    “Cara terbaik untuk mengesahkan adanya skoliosis adalah dengan melakukan pemeriksaan sinar-X menyeluruh pada tulang belakang,” ujar Dr Saw dan beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memeriksa dan menyedari keadaan ini pada anak-anak serta membawa mereka untuk penilaian awal, terutama bagi yang mempunyai sejarah skoliosis dalam keluarga.

    Beliau menjelaskan bagi golongan dewasa, terdapat dua keadaan yang memungkinkan seseorang mengalami skoliosis iaitu Skoliosis Idiopatik yang terjadi semasa remaja – satu keadaan yang mana lengkungan pada tulang belakang menjadi semakin teruk seiring pertambahan usia dan akhirnya menjadi lebih serius, biasanya apabila pesakit mencapai pertengahan umur.

    Keadaan kedua katanya ialah kumpulan yang menghidap Skoliosis Degeneratif, juga dikenali sebagai De Novo Skoliosis, iaitu penghidap biasanya mempunyai tulang belakang yang normal namun lama-kelamaan menjadi skoliosis akibat kemerosotan tulang belakang mereka.

    “Kebanyakan pesakit skoliosis tidak mengadu sakit manakala ada yang mungkin mengalami ketidakselesaan di bahagian belakang badan apabila mereka duduk atau berdiri lama.

    Namun, kesakitan seperti ini biasanya boleh dirawat dengan pengambilan ubat dan melakukan fisioterapi,” kongsi Dr Saw.

    Beliau memaklumkan rawatan untuk kanak-kanak pula secara amnya bergantung pada kematangan pertumbuhan rangka badan mereka, tahap keseriusan skoliosis yang dihadapi dan risiko tulang menjadi bertambah melengkung.

    “Lengkung kecil pada tulang belakang kanak-kanak biasanya dirawat secara konservatif dengan memasang pendakap dan melakukan fisioterapi.

    Bagi mereka yang mempunyai lengkung yang lebih besar dan ketidakseimbangan badan yang menunjukkan tanda-tanda kemudaratan, rawatan melalui pembedahan mungkin pilihan yang lebih baik,” katanya.

    Dr Saw mengingatkan bahawa seseorang tidak sepatutnya membebankan tulang belakang secara berlebihan sehingga boleh menyebabkan ligamen serta struktur cakera dalam tulang belakang haus dan lusuh justeru mengakibatkan keadaan pesakit semakin merosot.

    “Lakukan senaman otot teras secara konsisten dan senaman menguatkan otot sekitar tulang belakang. Senaman sedemikian dapat memberi perlindungan kepada ligamen dan cakera tulang belakang yang turut boleh membantu mengurangkan kecederaan,” nasihat Dr Saw.

    Tegasnya postur badan yang baik adalah penting kerana ia mampu mengagihkan beban secara sekata pada tulang belakang, lantas mengurangkan risiko haus dan lusuh.

    Kesedaran dan pengetahuan tentang skoliosis adalah penting dalam proses rawatan dan intervensi penyakit berkenaan, susulan itu baru-baru ini SMC telah menganjurkan satu acara sempena Hari Kesedaran Skoliosis, iaitu para pesakit dan perunding berkongsi pengalaman dan nasihat dalam membantu menyebarkan maklumat tentang skoliosis. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda