Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya penerapan pendidikan sejak dari usia awal lagi

    INGATKAH anda tentang kes dua orang kanak-kanak India yang bernama Amala dan Kamala yang dididik dan dibesarkan oleh serigala? Apabila mereka besar, cara hidup mereka adalah seperti serigala. Sewaktu ditemui, kanak-kanak itu berumur 6 dan 8 tahun.

    Mereka tidak boleh berjalan, tidak boleh makan seperti manusia biasa. Malah makanan yang mereka makan juga adalah makanan yang mentah. Kes ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya didikan yang ‘sempurna’ sewaktu kanak-kanak masih kecil lagi. Didikan selepas mereka membesar tidak semudah semasa ia kecil.

    Oleh itu, di sini didedahkan tujuh sebab kenapa kanak-kanak mesti diajar pada peringkat awal:

    1-Tahap kecerdasan kanak-kanak boleh berubah

    Kajian dan penyelidikan yang dibuat sejak kebelakangan ini menunjukkan IQ kanak-kanak boleh menaik dan menurun sehingga 79 mata.

    Hal ini bergantung kepada keadaan persekitarannya dan juga pembelajarannya. Jumlah peningkatan ini sudah memadai kanak-kanak yang mempunyai kemampuan intelektual yang rendah menjadi ‘genius.’

    Hal yang sebaliknya boleh berlaku apabila penurunan IQ sebanyak 79 mata boleh membuatkan kanak-kanak yang ‘genius’ mempunya IQ yang rendah. IQ manusia akan menjadi stabil apabila berumur 17 tahun dan selepas umur ini IQ manusia hanya boleh bertambah 20 peratus sahaja tetapi dengan usaha yang gigih.

    2-Menggiatkan pertumbuhan badan

    Kajian ke atas binatang seperti anjing, tikus, monyet dan ikan menunjukkan binatang-binatang yang diberi rangsangan semasa belum membesar boleh membesar dengan cepat, bergerak lebih cergas dan lebih berkebolehan berbanding dengan binatang-binatang yang tidak diberi ransangan.

    Begitu juga kanak-kanak yang masih kecil. Ransangan-ransangan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak mereka yang masih kecil akan meningkatkan tahap kecerdikan.

    Kanak-kanak yang menerima banyak ransangan semenjak lahir melalui semua derianya, akan lebih banyak memerhatikan semua benda di sekelilingnya. Seterusnya kanak-kanak tersebut akan lebih cepat belajar menyelaraskan pergerakan anggota badannya.

    3-Had kecerdikan bukan berdasarkan keturunan

    Memberi ransangan dan didikan pada peringkat awal akan meningkatkan kecerdikan seseorang.

    Di Tehran terdapat sebuah rumah anak yatim, tumpuan hanya diberikan kepada makanan, pakaian, keselesaan tempat tidur dan kebersihan. Didapati sehingga umur dua tahun, kanak-kanak di sana masih lagi tidak boleh berjalan.

    Kemudian kanak-kanak ini dibawa ke rumah anak yatim lain di mana mereka mendapat perhatian daripada pengasuh yang memberi layanan seperti seorang ibu.

    Mereka diajar bercakap dan diberi mainan yang dapat meransang otak. Akhirnya kanak-kanak yang mempunyai IQ rendah ini menjadi kanak-kanak yang berkebolehan daripada kanak-kanak yang biasa.

    4-Kemampuan untuk belajar adalah paling tinggi

    Kanak-kanak yang baru lahir, otaknya telah membangun sebanyak 25 peratus. Ketika berumur enam bulan otaknya telah membangun sebanyak 50 peratus.

    Manakala ketika berumur 3 tahun membangun sebanyak 85 peratus dan ketika berumur 6 tahun membangun sebanyak 95 peratus.

    Kajian mendapati, kesan persekitaran kepada kanak-kanak, pembentukan sifat dan perangainya dan peningkatan kecerdikannya adalah sangat tinggi ketika otaknya pesat membangun. Otak pesat membangun ketika berumur 0-3 tahun.

    Pada umur sebeginilah pelajaran dan ransangan sesuai diberikan dan akan meningkatkan tahap kecerdikannya.

    5-Otak manusia boleh dibandingkan dengan komputer

    Sebelum komputer boleh digunakan, ianya mesti diprogramkan terlebih dahulu. Begitu juga dengan otak manusia.

    Kanak-kanak memprogramkan otaknya melalui deria penglihatan, deria rasa, deria pendengaran dan perasaan hati. Semakin banyak ransangan yang diterima melalui derianya semakin bertambah kegiatan otaknya. Seterusnya kecerdikan otaknya akan bertambah. Otak manusia mempunyai berjuta-juta sel neuron.

    Sewaktu lahir sebahagian kecil otak manusia digunakan untuk fungsi-fungsi tertentu dan terdapat juga sel-sel yang bebas daripada sebarang fungsi. Maka sel-sel yang bebas inilah digunakan untuk mengingat, menyimpan maklumat, berfikir dan menerima pelajaran.

    Semakin banyak sel-sel yang bebas ini digunakan untuk menerima ransangan maka semakin cerdiklah kanak-kanak itu.

    6-Sel-sel otak sudah tidak dapat digiatkan kembali

    Ramai kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak akibat daripada demam panas. Kecederaan otak ini akan mengakibatkan lumpuh seluruh badan dan tidak boleh bercakap. Tetapi selepas kanak-kanak tersebut diransang semula dan dilatih dengan kaedah-kaedah tertentu ia kembali pulih.

    Perkara ini disebabkan sel-sel otak yang masih bebas itu mengambil alih tugas fungsi sel-sel otak yang telah cedera itu.

    Hal ini tidak boleh dilakukan kepada kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak apabila menjangkau umur persekolahan iaitu pada umur lima tahun. Ini menunjukkan sel-sel otak kanak-kanak yang bebas sebarang fungsi itu tidak dapat lagi digunakan selepas ia membesar.

    7-Masa yang paling peka untuk belajar

    Kanak-kanak yang berumur 3 tahun hingga 5 tahun sangat gemar membaca, menulis dan mengira pada usia ini. Pada umur sebeginilah kanak-kanak sangat mudah untuk belajar membaca dan menulis. Selepas tempoh umur 5 tahun agak sukar untuk mengajar kanak-kanak membaca, menulis dan mengira.

    Jean Piaget, seorang ahli psikologi mengatakan;

    “Pendidikan awal kanak-kanak penting dan perlu diberikan perhatian kerana 90 peratus daripada perkembangan otak secara optimum berlaku sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun.”

    Selain itu, antara umur 2 ½ tahun dan 3 ½ tahun, sekiranya ibu bapa melihat kanak-kanak mula menyusun benda-benda tertentu di tempat tertentu maka ibu bapa boleh mengajar peraturan-peraturan dan disiplin dengan mudah tanpa memaksa dan memarahi anak mereka.

    Kesimpulannya, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya.’ Apabila sudah menjadi buluh dan ingin melenturnya maka sukarlah ia untuk dilentur. Sama juga dengan manusia. Untuk mendidik manusia yang cemerlang didiklah ia dari kecil kerana sewaktu kecillah ia memprogramkan segala perkara yang diajar.

    Ingat, ajarlah kanak-kanak dengan perbuatan, perkataan dan perkara yang baik-baik supaya menjadi anak-anak yang cemerlang dunia akhirat. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda