Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pentingnya perancangan dan persediaan sebelum trip memancing jauh

    Oleh Raz AS

    Setiap kaki pancing sememangnya gemar mengunjungi lapangan pancing yang berdekatan dengan rumah mereka. Tidak perlu memakan banyak masa, perjalanan yang hanya memakan masa beberapa minit sudah cukup bagi mengubat kerinduan si pemancing untuk curi-curi melabuhkan umpan sekejap, meski sedikit sibuk dengan kehidupan seharian.

    Begitulah teruknya ‘gian’ seorang pemancing. Berjaya memperoleh ikan atau tidak itu lain cerita, yang penting setiap kali timbul rasa gian, melihat air kolam, tasik, sungai atau laut dan melontar pancing beberapa kali meski tidak sampai setengah jam sudah cukup rasanya.

    Mempunyai tempat memancing yang berdekatan dengan tempat tinggal sememangnya satu kelebihan. Ia memberi lebih banyak peluang kepada kaki pancing untuk membina keyakinan diri, menambah pengalaman dan pengetahuan serta melakukan eksperimentasi teknik dan kaedah baharu untuk menangkap ikan.

    Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal apabila sampai saatnya, si kaki pancing akan berasa jemu dengan tempat yang berulang kali dikunjungi itu. Memang sudah tersemat dalam naluri setiap pemancing inginkan cabaran baharu dan mengembara ke lubuk-lubuk memancing yang lain.

    Contohnya sahaja semenjak Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dibuka kepada orang ramai di negara ini kaki-kaki pancing dari Daerah Belait, Tutong dan Brunei Muara tidak putus-putus berkunjung saban hari ke Daerah Temburong untuk menyewa perahu bagi memancing udang galah di sana, sedangkan di daerah masing-masing juga terdapat lubuk-lubuk udang galahnya yang tersendiri.

    Teknologi GPS banyak membantu kita untuk mencari arah, namun begitu jangan bergantung sepenuhnya terhadap peralatan elektronik kerana kita tidak tahu bila-bila sahaja ia boleh terpadam. – Agensi
    Perkakasan seperti pisau, parang, sepana, playar, pembuka skru dan lain-lain perlu dibawa dalam kereta atau bot untuk keperluan dan langkah keselamatan.. – Agensi
    Elakkan daripada membawa semua barangan pancing yang ada kerana ia hanya akan menyempitkan ruang dan menjadi beban. – Agensi

    Mengembara ke lapangan pancing baharu sememangnya satu pengalaman yang menyeronokkan dan dipenuhi dengan harapan. Kita tidak tahu akan kemungkinan yang tersedia di lubuk-lubuk baharu itu, mungkin saja ikan-ikan di sana lebih galak memakan umpan berbanding di tempat kita sendiri, atau mungkin terdapatnya saiz-saiz idaman menanti-nantikan kehadiran umpan yang akan kita labuhkan. Hanya pemancing-pemancing tegar yang akan memahami perasaan ini.

    Tidak kiralah berapa lama trip yang anda rancang untuk memancing ke tempat baharu, sehari suntuk, semalaman atau mungkin juga untuk beberapa hari, seminggu atau sekian-sekian, ia memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi bagi memastikan trip memancing selesa dan berjalan lancar. Jangan turun-turun ayam.

    Adalah sangat penting perancangan dan persediaan dibuat lebih awal sekurang-kurangnya sehari sebelum turun memancing, lebih awal lebih baik. Elakkanlah daripada membuatnya pada saat akhir atau ‘last minute’ agar tidak berebut-rebut dan ‘gagau’.

    Terdapat beberapa faktor yang perlu dititikberatkan semasa membuat perancangan dan persediaan sebelum anda bertolak ke padang pancing baharu. Antaranya ialah memastikan kenderaan sama ada kereta atau perahu yang hendak dipakai berada dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

    Sementara itu, para pemancing juga digalakkan untuk menyemak peta tempat yang ingin dituju bagi mengelakkan daripada tersesat dan banyak membuang masa di atas jalan raya. Pada era yang serba canggih ini teknologi GPS banyak membantu kita untuk mencari arah, namun begitu jangan bergantung sepenuhnya terhadap peralatan elektronik kerana kita tidak tahu bila-bila sahaja ia boleh terpadam.

    Oleh yang demikian pastikan alat-alat elektronik seperti GPS, dan peralatan perhubungan seperti telefon bimbit, radio dan apa-apa sahaja yang menggunakan bateri dicas sepenuhnya. Lebih digalakkan lagi untuk membawa bateri tambahan.

    Selain itu jangan menganggap ringan akan keperluan lampu suluh meskipun kita bercadang hanya untuk memancing pada siang hari. Walaupun telefon bimbit sudah mempunyai fungsi lampu suluh namun ia tidak menggantikan penggunaan lampu suluh sepenuhnya.

    Tidak kiralah lampu suluh yang dipegang atau diikat di kepala ia boleh membantu anda melihat dengan lebih jelas pada waktu awal pagi semasa matahari baru hendak naik. Tambahan lagi ia sangat diperlukan bagi waktu-waktu kecemasan contohnya sekiranya tersekat di padang pancing kerana enjin perahu atau kereta rosak sehingga memaksa anda berada di sana sehingga matahari terbenam.

    Pastikan juga anda membawa perkakas seperti pisau, parang, sepana, playar, pembuka skru dan lain-lain di dalam kereta atau bot. Bagi yang ingin menyewa atau menggunakan bot pastikan ‘spark plug’ ada dalam simpanan anda. Masalah ‘spark plug’ rosak bukanlah sesuatu yang jarang dihadapi oleh pengguna-pengguna perahu enjin.

    Bagi peralatan memancing pula, seboleh-bolehnya elakkan daripada membawa semua sekali barangan pancing yang anda ada kerana tidak semestinya anda akan menggunakannya semua sekali dan hanya akan memakan ruang dan menjadi beban sahaja.

    Kenal pasti peralatan pancing yang sesuai untuk digunakan dalam trip tersebut dan juga yang anda gemar gunakan. Sekiranya anda gemar menggunakan salah satu umpan daripada jenis dan warna yang pelbagai yang ada dalam koleksi anda cukup bawa secukupnya. Begitu juga dengan peralatan terminal lain seperti mata kail, batu ladung, kili-kili dan lain-lain. Bawalah yang bersesuaian dan tinggalkan yang lain.

    Jika trip tersebut menggunakan perahu pilih batang pancing yang mempunyai kepanjangan yang sesuai seperti panjang tujuh kaki ke bawah, jika memancing dari darat dan memerlukan lontaran jauh tinggalkan joran-joran pendek. Seboleh-bolehnya ‘set up’ peralatan pancing anda lebih awal di rumah, agar tidak membuang masa setelah sampai ke lapangan pancing.

    Akhir sekali dapatkan tidur yang secukupnya pada malam sebelum perjalanan anda agar badan sentiasa segar dan bertenaga untuk membuat perjalanan jauh atau ketika berada di lapangan pancing. Bagi yang melakukan perjalanan lebih daripada sehari cubalah tidur dengan selesa untuk merehatkan badan setelah seharian penat memancing untuk meneruskan perjuangan keesokan hari.

    Jangan juga lupa bekalan makanan dan minuman, meski ikan tidak makan umpan, kita masih perlu mengisi perut agar tidak berkeroncong dan kebuluran, bak kata orang tua-tua “nah tu nah anu mu nah, kalau kau inda makan aku makan.” Selamat maju jaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda