Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pentingnya sokongan sosial buat pesakit strok

    Nurdiyanah R.
    Gambar serahan PJSC

    Andai takdir menimpa hidup seseorang menghidapi penyakit kronik seperti strok pastinya ia boleh merubah kehidupan dan kesejahteraan emosi dan sosial bersama lingkungan keluarga dan rakan mereka sepenuhnya.

    Namun sedar atau tanpa disedari, salah satu perkara yang sering terlepas pandang adalah keperluan pesakit dalam menyesuaikan diri dari segi pemulihan sosial dan sokongan yang diperlukan antaranya untuk mereka kembali bekerja atau mencari pekerjaan, dan juga pengendalian kewangan di samping mengekalkan hubungan antara insan-insan terdekat mahu pun mencapai faedah sosial demi meraih kembali keyakinan dalam meniti kehidupan sehari-hari.

    Dalam masa yang sama, komitmen para pekerja sosial perubatan penting bagi membantu dan menyokong pesakit dalam membentuk diri mengikut keadaan mereka dan masyarakat sekeliling pada tahap fungsi, sosial dan ekonomi terbaik yang boleh dilaksanakan.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Pegawai Pekerja Sosial Perubatan, Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), Dayang Nur Azirah @ Nora binti Haji Mohd Yahya berkaitan dengan kenyataannya dalam menyelami ‘Sokongan Hidup Selepas Strok’ bersempena dengan Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia yang diraikan pada setiap hari Rabu iaitu minggu ketiga dalam bulan Mac.

    Pada tahun ini, sambutan bertemakan ‘Membangun Bersama Dunia Eko-Sosial Baharu: Tidak Meninggalkan Sesiapapun’, membawa maksud ke arah visi dan misi yang penting untuk membangunkan dasar, polisi dan amalan global baharu yang menggalakkan kepercayaan, keselamatan dan keyakinan untuk semua orang. Dengan kata lain, ia begitu mencerminkan bagaimana pekerja sosial perubatan merapatkan jurang dalam membantu pesakit dan keluarga mereka dengan memberikan bantuan apabila perlu dengan sebaik-baiknya.

    Dayang Nur Azirah berkongsi berkaitan isu ‘Sokongan Hidup Selepas Strok’ bersempena dengan Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia yang diraikan pada setiap hari Rabu minggu ketiga dalam bulan Mac, baru-baru ini.
    Pada tahun ini, Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia membawa tema ‘Membangun Bersama Dunia Eko-Sosial Baharu: Tidak Meninggalkan Sesiapapun’.

    Peranan Jabatan Kerja Sosial Perubatan

    Dalam pada itu, Dayang Nur Azirah, menyatakan di PJSC, Pusat Strok dan Pemulihan Neurosains Brunei (BNSRC) menerima anggaran sebanyak 39 pesakit strok sebulan, di mana separuh daripada mereka telah dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Pesakit ini menghadapi pelbagai isu sosial antaranya masalah kewangan, konflik keluarga, ketiadaan penjaga atau sokongan keluarga, penderaan rumah tangga dan sebagainya.

    “Lazimnya, intervensi kerja sosial bermula dari tempoh strok akut dan berterusan sehingga pesakit keluar dari hospital. Kerja sosial, secara umumnya, merujuk kepada usaha dalam membantu pesakit, keluarga mereka, pasukan akut atau pasukan pemulihan dalam mencapai matlamat yang ditentukan secara individu,” jelasnya.

    Ujarnya lanjut, pekerja sosial perubatan merupakan profesional kesihatan bersekutu yang membentuk sebahagian daripada pasukan pelbagai disiplin yang menjaga pesakit semasa fasa akut, pemulihan pesakit dalam pemantauan di wad-wad dan fasa pesakit luar setelah daftar keluar.

    Manakala dari segi khidmat kaunseling, penyelarasan dengan agensi lain, penyediaan maklumat (seperti panduan memohon bantuan kewangan) dan membantu dalam menubuhkan pelan penjagaan pesakit di rumah adalah antara contoh-contoh tugas sebagai seorang pekerja sosial perubatan dalam persekitaran hospital.

    Oleh itu, adalah menjadi peranan pekerja sosial perubatan untuk membuat penilaian, menggunakan intervensi berdasarkan bukti-bukti dari segi aspek kehidupan pesakit dan keluarga yang kurang mendapat sokongan. Menerusi intervensi berkenaan, ia meletakkan kepentingan ke atas penyediaan penjagaan yang mengetengahkan pesakit.

    Bantuan berkonsepkan ADL

    Dayang Nur Azirah turut berkongsi sesetengah pesakit strok memerlukan bantuan berkonsepkan Activities of Daily Living (ADL) mereka atau keperluan penjagaan diri seperti makan minum, mandi, berpakaian dan keluar rumah.

    Hakikatnya, penjaga yang terdiri dari ahli-ahli keluarga atau pasangan adalah individu yang memainkan peranan penting dan bertanggungjawab untuk menyokong pesakit dalam semua fasa. Pada masa yang sama, golongan pekerja sosial perubatan turut memainkan peranan mereka dalam setiap langkah bermula daripada tindakan mengenal pasti penjaga dan bertemu ahli keluarga pesakit sehingga kepada aspek mengatur pelan penjagaan mereka.

    Namun, beliau turut menyatakan jika terdapat konflik keluarga atau ketiadaan penjaga bagi para pesakit, mereka akan bekerjasama dengan keluarga atau rakan pesakit untuk mencapai penyelesaian yang membolehkan pesakit pulang dengan selamat ke rumah dengan memastikan keperluan penjagaan mereka dipenuhi.

    Pentingnya sokongan bersama

    Tambah Dayang Nur Azirah lagi, kadangkala penyakit strok juga menjadi salah satu penyebab pesakit kehilangan pendapatan secara mendadak, sama ada akibat kehilangan pekerjaan atau keupayaan untuk meneruskan pekerjaan sendiri seperti menjual sayur-sayuran di pasar. Selain itu, ada juga beberapa situasi di mana ahli keluarga terpaksa berhenti kerja untuk menjadi penjaga pesakit sepenuh masa.

    Manakala, merujuk kepada kes di mana pesakit merupakan pencari nafkah utama keluarga sehingga kehilangan pendapatan sangat menjejaskan keupayaan mereka untuk menampung perbelanjaan bulanan dan menyediakan keperluan keluarga mereka. Hal ini mengakibatkan keperluan pesakit strok seperti bekalan susu, bekalan lampin dewasa, peralatan perubatan dan pengubahsuaian rumah menjadi beban kewangan yang besar kepada mereka.

    Sehubungan itu, sokongan agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) adalah penting untuk menangani isu masalah kewangan yang dihadapi oleh individu. Apabila pesakit tidak mampu membeli peralatan perubatan seperti katil hospital atau kerusi roda, pekerja sosial perubatan bekerjasama dengan agensi-agensi tertentu seperti Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk memohon bantuan.

    Sekiranya mereka memenuhi kriteria rujukan, susu tepung dan lampin daripada agensi-agensi berkenaan akan dibekalkan setiap bulan, bagi meringankan beban kewangan tambahan kepada keluarga. Dalam pada itu, agensi-agensi yang berpentingan juga bertanggungjawab untuk program pembinaan kemahiran yang memperkasakan individu untuk bekerja sendiri di samping hidup dengan ketidakupayaan mereka.

    “Pastinya, sesetengah pesakit memerlukan bantuan kewangan bulanan apabila kehilangan pendapatan, di mana pekerja sosial perubatan terlibat dalam memberikan maklumat dan penjelasan melalui perbincangan bersama pesakit dan keluarga. Maklumat mengenai elaun kurang upaya, bantuan kebajikan bulanan dan peluang mencari pekerjaan juga dikongsikan kepada pesakit atau keluarga mereka.

    “Hal ini dapat memudahkan mereka untuk menghubungi agensi-agensi berkenaan secara persendirian. Di samping bantuan kewangan, keluarga juga boleh mendapatkan nasihat tentang perkhidmatan penjaga atau kejururawatan swasta untuk menjaga pesakit apabila pulang ke rumah,” jelasnya lebih terperinci lagi yang turut menekankan bahawa pekerja sosial perubatan akan terus berusaha untuk bekerjasama dengan pesakit dan keluarga sepanjang perjalanan pemulihan sosial selepas strok demi melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan semua dari semasa ke semasa.

    Dalam pada itu, Dayang Nur Azirah turut mengalu-alukan orang ramai untuk menderma dan memberi sumbangan kepada pesakit dan keluarga mereka dengan bekalan asas yang diperlukan bagi sama-sama meringankan beban kehidupan seharian mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...