Pentingnya vaksinasi COVID-19 bagi remaja

Oleh Ak Zaki Kasharan

Sebagai salah satu usaha mengurangkan gangguan terhadap pendidikan dan mencegah penularan wabak di sekolah-sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kembali kelak, Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan melaksanakan program vaksinasi bagi remaja dalam kumpulan umur 12 hingga 17 tahun.

Dengan memberi suntikan vaksin tersebut, diharap dapat mengelakkan penutupan persekolahan yang sudah semestinya memberi impak jangka panjang kepada para pelajar jika ia berlarutan, di mana para pelajar terpaksa menjalani pembelajaran secara tidak bersemuka dan tidak dapat bersekolah seperti biasa.

Perkara tersebut diterangkan oleh Konsultan Kardiologis Pediatrik, Dr Rohayati binti Haji Mohd Taib, selaku ketua perkhidmatan pediatrik di Kementerian Kesihatan semasa sesi temu bual di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan mengenai program vaksinasi COVID-19 bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Turut hadir semasa sesi temu bual itu dan menerangkan lebih lanjut mengenai penggunaan, keselamatan dan keberkesanan vaksin Pfizer ialah Pegawai Perubatan Kanan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof selaku ketua perkhidmatan kesihatan sekolah-sekolah di Kementerian Kesihatan.

Dr Rohayati turut menerangkan dengan pemberian vaksin ini juga dapat mengembalikan kehidupan seperti sebelumnya di samping memberikan kebebasan beraktiviti, bersukan, bersosialisasi dan banyak lagi setelah sekian lama berada di rumah dan tidak melakukan perkara yang lazimnya mereka lakukan sekali gus memberikan manfaat yang besar bagi kesihatan mental mereka.

Dr Rohayati (kanan) dan Dr Siti Rosemawati semasa sesi temu bual di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan mengenai program vaksinasi COVID-19 bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Sementara itu, Dr Siti Rosemawati  mengongsikan sebanyak 79 buah negara di seluruh dunia telah menggunakan vaksin Pfizer yang dikenal pasti cukup selamat dan berkesan termasuklah di negara-negara jiran di rantau ini.

Dr Siti Rosemawati seterusnya menerangkan, bagi mereka yang mempunyai alahan yang teruk terhadap isi kandungan di dalam vaksin Pfizer tersebut, mereka tidak akan disarankan untuk mengambilnya.

Jika seseorang itu mengalami alahan yang teruk setelah mengambil vaksin tersebut, mereka juga adalah dinasihatkan untuk tidak menerima suntikan vaksin kedua.

Manakala bagi remaja yang telah dijangkiti COVID-19 sebelumnya, meskipun tubuh mereka mempunyai antibodi bagi melawan jangkitan di masa yang akan datang, mereka juga turut diberikan lagi suntikan vaksinasi COVID-19.

Penyelidikan yang dilakukan jelas Dr Siti Rosemawati telah menunjukkan bahawa dengan memberikan dua dos vaksin, ia adalah lebih efektif dalam melindungi seseorang itu daripada mendapat jangkitan di masa akan datang berban ding mereka yang telah mendapat jangkitan COVID-19 sebelumnya.

Menyentuh mengenai vaksin yang akan diberikan kepada para remaja yang berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini, Dr Rohayati menerangkan jumlah suntikan yang sama  seperti pemberian vaksin bagi orang dewasa iaitu dua dos vaksin akan diberikan kepada para remaja dengan tempoh jarak pemberian vaksin pertama dan kedua adalah sekurang-kurangnya tiga minggu.

Pada masa ini pihak Kementerian Kesihatan telah melakukan perbinca ngan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memberikan senarai yang mengandungi nama penuntut, tarikh lahir dan sebagainya.

Apa yang penting, ibu bapa dapat memberi maklumat yang diperlukan oleh pihak sekolah kepada guru mereka agar proses vaksinasi nanti dapat berjalan dengan lancar, jelas Dr Siti Rosemawati lagi.

Jika remaja itu belum mempunyai Bru-HIMS, ini adalah masa yang terbaik bagi para ibu bapa dan penjaga remaja tersebut untuk mendaftarkannya. Hal ini kerana Bru-HIMS merupakan suatu yang mandatori dan diperlukan bagi mendapatkan vaksinasi.

Apabila telah diagihkan surat kebenaran yang akan diberikan melalui sekolah-sekolah, tanda tangan ibu bapa ataupun penjaga adalah diperlukan bagi membolehkan para pelajar tersebut menjalani program vaksinasi berkenaan.

Seramai lebih 40,000 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun disasarkan untuk menjalani program vaksinasi yang dijangka berlangsung setelah tibanya vaksin Pfizer di negara ini nanti.

Sementara itu, program vaksinasi bagi para remaja tersebut akan mengambil tempat di pusat-pusat vaksinasi di seluruh negara memandangkan jumlah pemberian vaksin bagi orang dewasa telah berkurangan, jelas Dr Siti Rosemawati lagi.