BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kira-kira 13 peratus jumlah penduduk negara adalah golongan warga emas dan jumlah itu sedang meningkat yang sekali gus membawa bersamanya pelbagai cabaran dalam penjagaan warga emas.
Warga emas sering terdedah kepada masalah keretakan kerana kelemahan tulang, jatuh dan kecacatan berhubung dengan artritis di mana kesemua ini menambahkan lagi cabaran dihadapi Jabatan Ortopedik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang merupakan jabatan paling sibuk di hospital tersebut apabila mencatatkan sebanyak 2,200 kes pesakit, 1,500 kes prosedur pembedahan dan sebanyak 20,200 kes pesakit luar setiap tahun.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Jabatan Ortopedik, Hospital RIPAS, Haji Muhammad Khairul Azmi bin Haji Abdul Kadir yang juga Setiausaha Persatuan Ortopedik dalam ucapannya pada Pertemuan Saintifik Persatuan Ortopedik Brunei Darussalam ke-4 yang berlangsung di Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian pertemuan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Menurut Haji Muhammad Khairul Azmi lagi, perkhidmatan serupa jabatan tersebut turut ditawarkan sepenuh masa di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.


Beliau turut menekankan bahawa dengan meningkatnya kadar jangka hayat dan kesihatan secara umumnya, kebolehan untuk bergerak secara bebas dan tanpa sakit menjadi semakin penting di mana prosedur penggantian keseluruhan sendi pinggul dan lutut juga menjadi prosedur yang semakin kerap dilakukan.
Menurutnya prosedur penggantian lutut di Negara Brunei Darussalam menunjukkan peningkatan iaitu daripada hanya lima prosedur pada 2000 kepada sebanyak 48 prosedur dilakukan setiap tahun sejak kebelakangan ini.
Dengan reka bentuk dan fungsi yang lebih baik, prosedur itu juga dilakukan terhadap pesakit lebih muda dengan kondisi perubatan yang lain seperti artritis reumatoid.
Beliau menyatakan lagi bahawa golongan muda yang merangkumi sebanyak kira-kira 46.7 peratus penduduk negara juga tidak terkecuali daripada masalah ortopedik dengan kecederaan sukan sering berlaku dalam kalangan mereka. Kecederaan seperti ligamen anterior cruciate, tendon archilles dan pelbagai kecederaan ligamen sering berlaku dalam golongan muda dengan insiden pembedahan rekonstruktif ACL telah meningkat kepada lebih 30 kes setahun.
Beliau menerangkan matlamat untuk melakukan pembedahan kepada golongan muda itu adalah supaya dapat mengembalikan mereka kepada pekerjaan pada masa yang singkat serta membolehkan mereka untuk terus menikmati aktiviti-aktiviti sukan.
Pembedahan rekonstruktif dalam kalangan golongan muda juga memerlukan pendekatan pelbagai disiplin di mana jabatan fisioterapi dan terapi pekerjaan turut memainkan peranan penting dalam pemulihan para pesakit.
Sementara itu, kemalangan jalan raya juga menyaksikan Jabatan Ortopedik perlu memainkan peranan utama dalam pengurusan mangsa kemalangan jalan raya yang menghidap pelbagai keretakan atau patah tulang disebabkan kemalangan berkenaan.
Pengurusan kes-kes berkenaan, jelas Haji Muhammad Khairul Azmi adalah berasaskan kepada tahap kecemasan di mana perkembangan yang pesat dalam bidang penjagaan pesakit patah tulang dapat dilaksanakan dengan lebih awal supaya membolehkan para pesakit untuk kembali kepada pekerjaan mereka dengan lebih cepat.
Manakala itu, implan dan inovasi baharu dapat mengurangkan tempoh pesakit ditahan di hospital dan memberikan keputusan yang lebih baik namun ia memerlukan latihan bagi para doktor dan kakitangan bilik pembedahan yang membawa kepada meningkatnya kos dan logistik bagi inventori serta penyelenggaraan. Pada masa yang sama, para pakar juga perlu untuk sentiasa peka akan perkembangan terkini itu dan harus menghabiskan masa bagi mendapatkan latihan serta pelaburan dalam infrastruktur.