Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
SEKOLAH Menengah Melayu Pertama atau ringkasnya SMMP telah ditubuhkan pada 30 Januari 1966 di mana seramai 900 orang pelajar dari keempat-empat daerah telah didaftarkan di sana. Kemudian seramai 1,000 penuntut dari tingkatan satu, dua dan tiga telah diterima masuk menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Itulah detik-detik bersejarah permulaannya.
Pengetua pertama sekolah berkenaan berasal dari negara jiran iaitu Dr. B Simaudjuntak, sementara timbalannya pula ialah Allahyarham A.Sabtu bin Muhammad. Keramaian guru pada masa itu berjumlah 41 orang, termasuk empat guru dari semenanjung Malaysia.
Pada setiap hari Ahad, penuntut-penuntut di sekolah tersebut akan mendengar syarahan yang disampaikan oleh pembesar-pembesar kerajaan, agar dapat mendalami ilmu yang berguna demi masa depan penuntut kelak. Ketika itu syarahan diadakan di Dewan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS). Yang pertama sekali menyampaikan syarahan atau ceramah tersebut ialah Allahyarham Dato Paduka Haji Marsal bin Maun, Menteri Besar Brunei. SMMP julung-julung kalinya mengadakan sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW pada 2 Julai 1966 di luar sekolah berkenaan.
Pensyarah jemputan pada masa itu ialah Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama (Dr) Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin. Manakala ibu bapa penuntut serta penulis juga turut hadir bagi sama-sama memeriahkan sambutan. Ianya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.


