Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penubuhan BECS cermin kematangan sektor penjagaan kesihatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Penjagaan kecemasan adalah asas kepada mana-mana sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan di mana ia merupakan titik sentuhan pertama semasa saat genting sama ada dalam kes trauma, serangan jantung, kecemasan kesihatan awam atau bencana.

    Kualiti dan respons perkhidmatan penjagaan kecemasan kita merupakan perbezaan antara hidup dan mati, tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa acara perasmian Persatuan Penjagaan Kecemasan Brunei (BECS) yang berlangsung di Hotel Radisson, ibu negara, hari ini.

    Beliau berkata di Negara Brunei Darussalam, kita amat beruntung kerana mempunyai pakar perubatan kecemasan, jururawat, paramedik yang berdedikasi dan ramai lagi yang bekerja di bawah tekanan dan situasi kritikal masa.

    “Mereka menggambarkan individu yang cekap, tenang dan boleh dipercayai ketika negara menghadapi saat-saat genting atau krisis.”

    Oleh itu, penubuhan BECS merupakan inisiatif yang bertepatan dan terpuji di mana ia mencerminkan perkembangan profesionalisme dan kematangan sektor penjagaan kesihatan serta komitmen bersama kepada kecemerlangan, ulas Yang Berhormat Dato lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham merasmikan BECS pada majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel di ibu negara. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Persatuan itu, tambahnya, bukan sahaja memajukan kepentingan ahli-ahlinya tetapi ia juga menyediakan asas bagi Brunei yang lebih bersedia dan selamat.

    Terdahulu, Presiden BCES, Dr Ang Swee Hui dalam kata alu-aluannya menyatakan penubuhan BECS menandakan permulaan sebuah inisiatif yang penting di mana ia merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan oleh profesional penjagaan kecemasan di Brunei.

    Persatuan itu, tambahnya, bermatlamat untuk menghimpunkan semua pihak berkenaan dalam penjagaan kecemasan dengan komitmen bersama untuk meningkatkan respons, kepimpinan dan penyediaan penjagaan.

    Penubuhan BECS menandakan bab yang baharu dalam sektor penjagaan kesihatan Brunei, jelas Dr Ang di mana ia berdedikasi kepada memajukan standard perubatan kecemasan dan memupuk kolaborasi dalam negara dan antarabangsa.

    Dalam usaha mencapai misi itu, BECS akan menganjurkan persidangan profesional, melaksanakan program latihan, membangunkan garis panduan klinikal kebangsaan yang berakar umbi dalam amalan berasaskan bukti serta memudahkan bimbingan dan pembangunan profesional berterusan untuk ahlinya.

    Persatuan itu juga komited kepada penglibatan masyarakat menerusi inisiatif latihan sokongan, pendidikan kesiapsiagaan bencana dan kempen kesedaran awam mengenai respons kecemasan.

    Sebagai pengiktirafan kepada individu yang telah meletakkan asas bagi penjagaan kecemasan di Brunei, BECS menganugerahkan keahlian seumur hidup kepada mereka pada majlis berkenaan.

    Sumbangan mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap penjagaan kecemasan dan akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda