Oleh Yusrin Junaidi –
TUTONG, 11 OGOS – Sebagai usaha strategik dalam mendukung perkembangan industri halal dan pelancongan negara, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mengumumkan penubuhan Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan hari ini.
Fakulti baharu ini bakal menawarkan program pengajian tinggi dalam bidang pelancongan serta sains halal, yang merangkumi pengajaran dan pembelajaran secara teori dan praktikal di peringkat pra-siswazah dan siswazah. Selain itu, fakulti juga akan melaksanakan penyelidikan berkaitan isu-isu kontemporari dalam produk dan perkhidmatan halal, hospitaliti dan pelancongan.
Menurut kenyataan UNISSA, fakulti itu bertujuan melahirkan kepimpinan yang mahir, profesional, bersahsiah serta berakhlak tinggi dalam bidang industri halal dan pelancongan.
Ia juga merupakan respons kepada keperluan negara dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 serta aspirasi menjadi negara zikir yang memartabatkan prinsip maqasid Syariah.
Para graduan Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan dijangka bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran dalam bidang halal dan pelancongan kontemporari, malah turut dididik dengan kefahaman mendalam mengenai objektif syariah dan matlamat pembangunan mampan. Ini sekali gus menjadikan Negara Brunei Darussalam dan UNISSA contoh utama bagi negara-negara Islam lain dalam penawaran pendidikan berasaskan maqasid Syariah.
Penubuhan fakulti ini dilihat sebagai langkah penting dalam memenuhi keperluan pakar berpengetahuan dan berkemahiran yang dapat menguruskan industri halal dan pelancongan di peringkat nasional dan antarabangsa dengan cekap dan berwibawa.
Industri halal dan pelancongan juga dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kewangan dan ekonomi Islam di Negara Brunei Darussalam.
UNISSA berharap fakulti baharu ini akan berjaya dalam menawarkan program-program berkualiti yang memberi manfaat luas kepada masyarakat dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh pembangunan industri halal dan pelancongan berteraskan nilai Islam dan kelestarian.


