Monday, July 14, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penubuhan kumpulan satukan suara industri dalam HSE

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Seramai 20 ahli jawatankuasa eksekutif daripada pelbagai organisasi dan syarikat utama di Negara Brunei Darussalam kini bergabung di bawah Industry Health, Safety and Environment Group (iHSEg), sebuah syarikat yang diterajui industri bagi memperkasa aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) negara.

    Penubuhan iHSEg telah dilancarkan secara rasmi sempena Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (WSHCON) 2025 yang dianjurkan Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Brunei baru-baru ini.

    Majlis pelancaran syarikat berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib bagi mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Pelancaran berkenaan dimulakan dengan upacara pemotongan reben di ruang pameran iHSEg, disusuli sesi bergambar kenangan bersama jemputan khas.

    Ketibaan tetamu kehormat disambut oleh Pengerusi iHSEg dan Pengarah Urusan Serikandi Group of Companies, Dr Shaikh Khalid bin Sh Hj Ahmad, serta Naib Pengerusi iHSEg dan Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd, Johan Atema bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif iHSEg.

    Sejak ditubuhkan pada September 2019, iHSEg mengumpulkan wakil-wakil dari pelbagai organisasi seperti Syarikat Minyak Brunei Shell, Petronas Carigali, Serikandi Group, JPMC, Brunei Fertilizer Industries, BMC, UBD, AWE, Brunei LNG, Heidelberg Materials Butra, SRS Corporation, Megalift, AIP Law, DPPMB, PTAS, Kamar Dagang India dan Cina, Hengyi Industries, PETROFES serta Air Cat Logistics.

    Dalam ucapannya, Dr Shaikh Khalid menekankan misi iHSEg sebagai sebuah platform kolaboratif yang proaktif dalam menyatukan suara industri untuk memajukan kecemerlangan HSE secara menyeluruh, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 serta pengesahan Konvensyen ILO 155 dan 187.

    Penubuhan rasmi iHSEg berkenaan mencerminkan komitmen kukuh sektor awam dan swasta dalam memupuk budaya keselamatan yang mampan dan tangkas menghadapi cabaran masa depan.

    Pihak iHSEg turut merakamkan penghargaan kepada Yang Mulia Dayang Hajah Farida atas kesudian merasmikan reruai berkenaan serta kepada SHENA atas peluang menyertai WSHCON 2025.

    iHSEg mengalu-alukan lebih banyak organisasi untuk menyertai mereka sebagai ahli Kumpulan Majikan di bawah perikatan tiga pihak bersama Kerajaan dan Kumpulan Pekerja dalam memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

    Gambar ramai di reruai yang disediakan.
    Atas & Bawah: Dayang Hajah Farida meyempurnaka perasmian reruai berkenaan.

    Dayang Hajah Farida melawat pameran dalam reruai berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN IHSEG.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda