HATYAI, 30 Jan – Keakraban hubungan rakyat Malaysia dan Thailand khususnya penduduk di wilayah yang bersempadan kedua-dua negara sangat baik walaupun berbeza budaya dan fahaman agama.
Kemunculan banyak kumpulan motosikal berkuasa tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang sering menunggang ke negara Gajah Putih itu, banyak dilihat pada setiap hujung minggu atau cuti umum telah menjadi trend bagi pemilik motosikal berkenaan.
Seorang pegawai kanan kerajaan Thai, Soontorn Noiboonma atau nama mesranya, Micky yang melihat trend ini berjaya menggabungkan pemilik motosikal berkuasa tinggi Malaysia dan Thailand dengan menubuhkan MALTHA Riders Club.

Katanya MAL, singkatan bagi Malaysia dan THA untuk Thailand, ditubuhkan bagi melaksanakan program kebajikan serta membantu rakyat kedua-dua negara yang ditimpa malang semasa bercuti di Thailand atau Malaysia selain mengukuhkan hubungan silaturahim.
“Kelab ini bukan bermatlamat untuk bersuka tetapi lebih kepada kebajikan dan kemanusiaan. Sebab itu ahli kami baru berjumlah 100 lebih kerana yang memohon menyertai akan disaring dan disokong oleh ahli negara masing-masing,” kata Micky dalam temu bual dengan Bernama di sini, hari ini.
Menurutnya ramai usahawan di Selatan Thai menyumbang kepada MALTHA Riders Club untuk melaksanakan program, antaranya pembinaan rumah untuk golongan miskin, peralatan sukan kepada sekolah, pembinaan masjid dan membantu mangsa kemalangan. – Bernama