KUALA LUMPUR, 1 MAC – Selepas hampir dua bulan sesi persekolahan 2021 secara bersemuka ditangguhkan akibat peningkatan kes COVID-19, hari ini murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara menyarung kembali pakaian seragam dan melangkah penuh semangat pada hari pertama sekolah.
Walaupun negara masih dihimpit dengan kes harian COVID-19 yang tinggi, kelihatan murid-murid hadir dengan tenang tanpa sebarang ragam seperti tahun-tahun sebelumnya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan.
Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati murid-murid yang ditemani ibu bapa mereka mula tiba di perkarangan sekolah seawal 7 pagi, menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman selain memakai penutup mulut dan hidung pelbagai warna dan corak ketika beratur sebelum memasuki kelas. Ibu bapa yang ditemui berharap pembukaan sesi persekolahan kali ini berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan semula serta SOP yang ketat agar murid-murid terhindar daripada sebarang jangkitan.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menggerakkan beberapa pasukan unit kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan semua sekolah di daerah Sentul mematuhi SOP ditetapkan. – Bernama
