Friday, November 15, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penuh semangat patriotik

    Oleh Sim Y. H.& Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Dengan semangat patriotik yang tinggi dan perpaduan erat, ribuan peminat dan penunggang basikal dari segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli menyertai Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

    Acara yang julung-julung kalinya diadakan itu menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dengan hasrat untuk memupuk perpaduan negara melalui penghayatan budaya sukan dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada pewujudan warga sihat yang mana adalah penting ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Baginda Sultan ketika berkenan mengepalai acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, kelmarin.
    Baginda Sultan ketika berkenan mengepalai acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, kelmarin.

    Keberangkatan Baginda Sultan di acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.
    Keberangkatan Baginda Sultan di acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama kerabat diraja yang lain berkenan berangkat bercemar duli menyertai Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja berkenan menyaksikan laluan Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 dan Persembahan Basikal Fixie.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja berkenan menyaksikan laluan Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 dan Persembahan Basikal Fixie.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan lebih dekat lagi kemeriahan Bandarku Ceria dengan penglibatan orang ramai dari pelbagai peringkat umur dalam aktiviti seperti pameran, petak-petak jualan pelbagai jenis makanan dan minuman dan sebagainya.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjayakan acara berbasikal, kelmarin.
    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjayakan acara berbasikal, kelmarin.
    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah juga berkenan memeriahkan acara berbasikal, kelmarin.
    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah juga berkenan memeriahkan acara berbasikal, kelmarin.

    Semua itu adalah selaras dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan 2017 iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

    Acara telah dimulakan dengan pelepasan sebanyak 30 biji belon oleh tiga buah kementerian dan tiga ekor burung merpati oleh peserta kanak-kanak bagi menandakan bermulanya Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 berkenaan bagi acara Kayuhan 16 km.

    Kayuhan 16 km itu turut disertai oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, duta-duta serta perwakilan negara asing, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

    Ia meliputi jalan-jalan utama antaranya Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Pusing Keliling Jalan Utama Berakas/Muara, Jalan Tasek, Jalan Kianggeh dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Baginda Sultan kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 33 orang penunggang basikal yang terdiri daripada atlet-atlet basikal kebangsaan dan wakil daripada kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan serta dari persatuan-persatuan bagi acara Kategori 33km.

    Pasukan yang diketuai oleh Awang Mohd Ali Sofian bin Haji Thani itu terdiri daripada atlet-atlet kebangsaan dan wakil kementerian serta jabatan kerajaan dan ahli kelab yang bergabung dengan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam dari Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.

    Perbarisan lalu diteruskan dengan peserta basikal klasik seramai 15 orang yang diketuai oleh PW1 (B) Haji Aminudin Haji Abdul Karim iaitu dua orang membawa beca dan 13 orang berbasikal klasik.

    Anak muda mempamerkan kemahiran menggunakan basikal Fixie.
    Anak muda mempamerkan kemahiran menggunakan basikal Fixie.

    Ahli Kelab B.E.S.T turut tidak ketinggalan memeriahkan acara kelmarin.
    Ahli Kelab B.E.S.T turut tidak ketinggalan memeriahkan acara kelmarin.
    Para peserta basikal klasik turut mengambil bahagian dalam Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan.
    Para peserta basikal klasik turut mengambil bahagian dalam Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyempurnakan pelepasan seramai 33 orang peserta yang menyertai kategori kayuhan 33 kilometer.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyempurnakan pelepasan seramai 33 orang peserta yang menyertai kategori kayuhan 33 kilometer.

    Mereka terdiri daripada ahli Kelab B.E.S.T Group (Berbasikal Ekspedisi Sukarelewan Daerah Tutong) yang mula dibentuk pada awal 2014 dan pada masa ini mempunyai seramai 33 orang ahli yang berumur lingkungan usia 50 tahun ke atas.

    Basikal yang dipertunjukkan itu adalah basikal-basikal klasik yang pernah digunakan pada tahun 1980-an.

    Baginda Sultan kemudian berkenan berangkat menyaksikan perbarisan lalu dan persembahan khas daripada seramai 33 orang peserta basikal Fixie di mana Begawan Fixed Gear ditubuhkan pada Jun 2014 dan Pengasas Kelab, Dayang Roslinda binti Haji Mawang yang dibantu oleh tiga orang ahli untuk mengetuai kelab yang pada masa ini mempunyai seramai 50 orang ahli yang terdiri daripada para belia berusia di antara 12 hingga 22 tahun dari keempat-empat daerah.

    Kelab berkenaan pernah mengadakan dua Pertandingan Fixie pada 2015 di Jerudong Park Amphitheatre dan pada 2016 di Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Kelab itu ditubuhkan untuk menarik minat belia untuk bergiat aktif dalam sukan berbasikal dengan gaya yang sihat dengan sasaran pada masa akan datang untuk mendisiplinkan belia dengan semangat sukan dan keselamatan di jalan raya.

    Pada acara Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan, selain ahli Begawan Fixed Gear, mereka turut dibantu oleh Kelab TFG dan Kelab ROD.

    Kumpulan perbarisan lalu terakhir mengetengahkan peserta berbasikal kanak-kanak seramai 33 orang yang berumur di antara enam hingga 12 tahun di mana mereka didedahkan dengan semangat patriotik iaitu cintakan tanah air, kepentingan kesihatan dalam kehidupan serta menjadikan sukan berbasikal sebagai salah satu hobi bagi mengisi masa lapang secara berfaedah.

    Semua itu adalah kerana kanak-kanak merupakan aset negara yang bakal menjadi pemimpin di masa akan datang.

    Antara peserta yang mengikuti dan meramaikan suasana Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017.
    Antara peserta yang mengikuti dan meramaikan suasana Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017.

    Baginda Sultan turut berkenan menerima pesambah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.

    Selain berbasikal, Baginda berkenan menyaksikan lebih dekat lagi kemeriahan Program Bandarku Ceria dengan penglibatan orang ramai dari pelbagai peringkat umur dalam aktiviti seperti pameran, petak-petak jualan pelbagai jenis makanan dan minuman dan sebagainya.

    Kayuhan Semangat Hari Kebangsaan 2017 merupakan acara yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan dengan penglibatan semua kementerian lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

    Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGO sangat efektif dan berkesan, apatah lagi jika diguna pakai dalam memaju jayakan program pembangunan negara.

    Acara itu adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, 2017 yang bermatlamat ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada pewujudan warga sihat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda