SYDNEY, 31 DIS – Penularan koronavirus melonjak sekali lagi di Australia hari ini, merekodkan lebih 32,000 kes baharu, hanya beberapa hari selepas ia melepasi 10,000 kes buat kali pertama.
Pakar mengatakan letusan dipacu oleh varian mudah berjangkit, Omicron dan pelonggaran sekatan di Sydney serta kawasan-kawasan lain kebelakangan ini.
Lebih daripada 15,000 kes baharu dilaporkan di Sydney, manakala 5,000 lagi kes dari tempat lain di negeri New South Wales, manakala hampir 6,000 disahkan di negeri Victoria, dengan Melbourne adalah bandar kedua terbesar.
Meskipun kemasukan ke hospital dan kematian meningkat akibat penularan itu, setakat ini ia belum mencapai tahap sama seperti penularan terdahulu.
Dan banyak bandar meneruskan keraian Tahun Baharu, termasuk pertunjukan bunga api terkenal di Sydney Harbor Bridge dan Sydney Opera House.
Di sebalik peningkatan itu dan pelbagai cabaran alam yang melanda negara, Perdana Menteri Scott Morrison tetap optimis.
“Meskipun pandemik, banjir, kebakaran, kemarau berterusan di beberapa kawasan, siklon, perintah berkurung malahan wabak tikus, Australia lebih kuat hari ini berbanding setahun lalu dan kita lebih selamat,” kata Morrison dalam perutusan tahun baharu. – AFP
