BRISBANE/PARIS, 24 JULAI – Kawasan dalam bandar Sydney, yang pernah menjadi pusat wabak HIV di Australia, hampir menjadi tempat pertama di dunia mencapai sasaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan penularan virus itu, kata penyelidik hari ini.
UNAIDS telah menetapkan matlamat untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan global menjelang 2030, termasuk mengurangkan jumlah kes HIV baharu sebanyak 90 peratus berbanding 2010. Di Sydney, jangkitan baharu dalam kalangan lelaki homoseksual menurun sebanyak 88 peratus dari 2010 hingga 2022, penyelidik mengumumkan pada persidangan sains HIV Persatuan AIDS Antarabangsa yang diadakan di bandar Brisbane, Australia.
Andrew Grulich, ahli epidemiologi di Universiti New South Wales yang membentangkan penyelidikan itu, memberitahu AFP ‘kita hampir mencapai sasaran’ kira-kira lapan tahun lebih awal daripada sasaran 2030. – AFP