Penularan jangkitan semakin terkawal

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 10 kes baharu hari ini, terendah sejak kemuncak jumlah kes pada gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini, menjadikan keseluruhan kes 15,142.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengongsikannya dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, terdapat tambahan satu kes baharu kepada satu kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, tambah beliau, terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan enam kes dengan satu daripadanya adalah Kluster TM Majeed iaitu kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Empat kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster 11689, Kluster 11721, Kluster 13459 dan Kluster HTB Biltech Sdn Bhd, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 122 kluster.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.- Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala itu, terdapat tiga kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 41 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 14,647 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 395 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes-kes yang dalam rawatan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa hanya satu kes dalam kategori 5 yang sedang dirawat di unit rawatan intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan serta bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, terdapat satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” tambahnya.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,627 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 631,475 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk terus memanjatkan doa agar semua penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam sentiasa sihat walafiat dan diberikan perlindungan dan keselamatan dari segala mara bahaya khususnya daripada wabak COVID-19.