Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penulis Perancis saman TikTok langgar hak cipta

    PARIS, 13 NOV – Sebuah kumpulan yang mewakili penulis dan penulis skrip Perancis berkata hari ini bahawa ia telah melancarkan tindakan undang-undang terhadap TikTok, syarikat media sosial China atas dakwaan pelanggaran hak cipta.

    Persatuan Penulis dan Penggubah Drama (SACD), sebuah kumpulan bukan berasaskan keuntungan yang mewakili kira-kira 60,000 penulis untuk pawagam, TV, teater dan rancangan komedi, berkata ia telah memfailkan saman tersebut di Paris.

    “TikTok, selama bertahun-tahun, telah menggunakan karya yang dilindungi daripada repertoir SACD tanpa sebarang kebenaran dan tidak pernah menawarkan pampasan yang boleh diterima untuk penulis karya-karya ini, dan tidak juga memadamkan karya-karya yang diterbitkan setelah kami arahkan,” kata SACD dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP.

    Ia memetik penggunaan dialog atau petikan daripada filem-filem terkemuka Perancis seperti Asterix and Obelix atau komedi Brice de Nice, serta beberapa siri animasi dan komedi lain.

    Selepas empat tahun perbincangan yang tidak membuahkan hasil, SADC berkata ia sedang menuntut, “pemulihan atas kerugian yang dialami oleh penulis karya yang dieksploitasi atau dipersembahkan di platform tersebut”.

    Ia juga menggesa TikTok untuk bersikap telus dengan pendapatan kewangannya bagi menentukan jumlah yang terhutang kepada pemegang hak cipta bahan yang diterbitkan di platform tersebut.

    Dimiliki oleh firma China ByteDance, TikTok mempunyai ibu pejabat Eropahnya di Ireland.

    Tiktok menghadapi tekanan kawal selia yang semakin meningkat di Eropah, dengan platform tersebut pernah didenda 530 juta euro oleh Kesatuan Eropah pada bulan Mei kerana menghantar data peribadi rakyat Eropah secara haram ke China.

    Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga memaksa perjanjian yang akan menyaksikan penjualan operasi platform di Amerika kepada sekumpulan pelabur di Amerika.

    Tiktok tidak segera menjawab apabila dihubungi oleh AFP untuk mendapatkan komen mengenai tindakan undang-undang SADC. – AFP

    Gambar hiasan Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda