SAN FRANCISCO, 21 SEPT – Pengarang Game of Thrones, George RR Martin dan beberapa penulis fiksyen terlaris telah memfailkan saman terhadap OpenAI, menuduh syarikat teknologi itu melanggar hak cipta mereka untuk menyokong chatbot AI generatif ChatGPT.
The Authors Guild, sebuah organisasi yang mewakili penulis dan beberapa novelis termasuk Martin, John Grisham dan Jodi Picoult, menuduh syarikat yang berpusat di California itu menggunakan buku mereka ‘tanpa izin’ untuk melatih ‘model bahasa besar’ ChatGPT, algoritma yang mampu menghasilkan teks seperti manusia berdasarkan pertanyaan yang mudah, menurut tuntutan mahkamah.
“Dan di tengah-tengah algoritma itu adalah pencurian sistematik dalam skala besar,” menurut aduan itu, yang difailkan pada Selasa di mahkamah persekutuan New York.
Banyak tuntutan mahkamah lain telah difailkan oleh artis, organisasi dan pencipta kod terhadap OpenAI dan pesaingnya, dengan plaintif mendakwa hasil kerja mereka telah dicuri.
OpenAI tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan komen dari AFP.
“Model bahasa syarikat tersebut ‘menjejaskan kemampuan penulis fiksyen’ untuk mencari pendapatan, kerana (model-model) tersebut membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan secara automatik dan secara percuma (atau dengan harga yang sangat murah) bagi teks yang sepatutnya mereka bayar kepada penulis untuk mencipta,” kata aduan pada Selasa.
ChatGPT boleh digunakan untuk menghasilkan ‘karya terbitan’, meniru gaya penulis, tambahnya. – AFP


